Nabi SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah:
"Secerdik-cerdik manusia ialah orang yang paling banyak mengingati mati
dan paling bersungguh-sungguh bersiap sedia. Mereka ialah orang yang
benar-benar cerdik, mereka pergi (ke alam baqa) dengan membawa kemuliaan dan
kemuliaan akhirat." Kemuliaan semasa hayat bukan sahaja hubungan kita
dengan Tuhan, tetapi juga hubungan sesama insan. Sentiasa berkasih sayang dan
menghargai antara satu sama lain terutama kepada orang yang banyak berjasa kepada
kita, orang yang rapat dan penting dalam hidup (ahli keluarga).
Imam al-Ghazali pernah berpesan, "Yang singkat itu
waktu, yang menipu itu dunia, yang dekat itu adalah kematian, yang besar itu
adalah hawa nafsu, yang berat itu amanah, yang sulit itu adalah ikhlas, yang
mudah itu adalah berbuat dosa, yang susah itu adalah bersabar, yang sering
dilupa adalah bersyukur."
Demikianlah hakikatnya, hidup di dunia ini amat singkat,
selepas mati kita akan hidup di alam kubur dan hidup yang kekal adalah di
akhirat. Kematian suatu yang menakutkan bagi orang yang lalai perintah -Nya.
Saat akan mati, kita berhadapan dengan sakratulmaut. Susah atau senang
sakratulmaut bergantung kepada amalan kita. Oleh itu, bagi menghilangkan rasa
takut kepada kematian hendaklah kita mempertingkatkan amalan.
Manusia makrifatullah, iaitu Allah SWT adalah segala-gala
dalam hidup. Kepelbagaian sikap itu meletakkan manusia pada tahap yang berbeza
kedudukan serta hasil kehidupan semasa di dunia atau akhirat. Manusia
makrifatullah mengutamakan mencari makna dan tujuan akhirat lebih daripada
keduniaan.
Biarlah kita penat di dunia, memanfaatkan waktu untuk
memperbanyak amal soleh, seperti sabda Nabi SAW: "Ambil kesempatan lima
sebelum lima, iaitu sihatmu sebelum sakitmu, waktu lapangmu sebelum sibukmu,
kayamu sebelum fakirmu, mudamu sebelum tuamu dan hidupmu sebelum matimu."
Apabila sampai waktunya, kita akan pergi
ke alam abadi menemui Ilahi. Cara kematian dan bila itu menjadi rahsia Ilahi.
Sakit dan tua bukan syarat untuk mati, ada meninggal dunia tanpa sebarang
sakit, umurnya habis ketika tidur, ada meninggal secara mengejut kerana
kemalangan.
Sentiasalah bermurah hati memberi senyuman, mengucapkan
sayang, berterima kasih, menghargai. Jauhi sikap berdendam, berdengki, berprasangka
buruk dan berperasaan negatif supaya orang sekeliling berasakan ketika kita ada
menguntungkan, ketiadaan kita satu kehilangan dan disebut-sebut kebaikan kita.
Hidup lawannya mati. Beringatlah, jangan sampai tiba-tiba
maut datang, segala-galanya sudah terlambat untuk menyesali apa yang telah kita
kerjakan ketika hidup di dunia. Saidina Abu Bakar berkata, "Sesiapa masuk
kubur tanpa bekalan, maka seperti mengharungi laut tanpa perahu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan