NuffnangAds

Isnin, 25 Januari 2016

MENCARI KEBERKATAN REZEKI DALAM BEKERJA

Malas, enggan bekerja, hendak kerja senang sahaja. Ini bukan budaya kerja yang diajarkan Islam. Apatah lagi menganggur, sama sekali tiada dalam kamus Islam. Alam terbentang luas dijadikan medan untuk untuk umat Islam bekerja mencari rezeki. Yang rajin dan tidak berputus asa, mereka akan berjaya dan kaya raya.

Kerja yang diredhai oleh Allah dan disertai dengan niat kerana Allah akan menjadi ibadat. Kita hendaklah menyedari dan menghayati bahawa setiap lapangan pekerjaan yang dilakukannya itu sekiranya dimulai dengan niat, ia adalah satu ibadat. Islam menggariskan lima etika bekerja yang harus dipatuhi untuk memastikan keberkatan rezeki.


1. Ikhlas Dan Amanah
Bererti bekerja dengan sepenuh kerelaan dan dengan suci hati untuk mencari keredhaan Allah. Setiap pekerja harus menyedari bahawa dia yang meminta jawatan yang dipegangnya sekarang, bukan dipaksa untuk memenuhi jawatan itu. Sekiranya seorang itu dapat menghayati dan mensyukuri segala rahmat Allah, In Syaa Allah kita akan dapat menunaikan tugas kita dengan ikhlas. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud “sebaik-baik manusia ialah orang yang banyak manfaat bagi sesama manusia” (Riwayat Al-Quda).

2. Cekap Dan Tekun
Ketekunan adalah sifat yang amat diperlukan oleh seorang pekerja. Setiap pekerja akan dapat meningkatkan kecekapan masing-masing menjalankan tugas sekiranya tekun dalam menjalankan tugas. Malah apabila hendak menilai seorang pekerja, ciri yang terpenting ialah kecekapan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun”. (Riwayat Al-Baihaqi).

3. Bekerjasama
Dalam apa jua perkhidmatan, kebanyakan kita bekerja secara berkumpulan. Bagi menghasilkan perkhidmatan cemerlang dan bermutu, sesuatu kumpulan pekerja itu mestilah bekerjasama dalam melaksanakan tugas. Sikap bantu membantu di antara pekerja akan menimbulkan suasana bekerja yang aman dan gembira. Selain bekerjasama dalam pasukan, seelok-eloknya binalah budaya yang menggalakkan percambahan ilmu melalui perbincangan, bertukar fikiran, mengkaji masalah yang ada dan juga menghadapi masalah yang mungkin timbul.

4. Mengabdikan Diri Kepada Allah
Sedar diri kita manusia adalah hamba Allah, maka sewajarnya setiap  manusia mengabdikan dirinya kepada Allah, dengan mengikut segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Setiap kita harus menjalankan tugas dengan penuh kesedaran bahawa jawatan kita sandang adalah amanah Allah. Sekiranya tidak ditunaikan dengan sebaik-baiknya, bererti kita tidak menunaikan amanah kepada Allah.

5. Pekerjaan Halal
Carilah kerja halal, jauh daripada unsur penipuan dan penindasan, apatah lagi bekerja di tempat yang tidak halal seperti kilang arak, tempat menjual nombor ekor dan terbabit dalam pelacuran.



Bukan itu sahaja, jika kita tidak menunaikan kerja dengan sewajarnya, seperti ponteng, mencuri masa dengan membuat kerja peribadi di dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada orang sepatutnya, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak dan seumpamanya, itu juga termasuk dalam perbuatan haram yang mesti dielakkan. Kita mungkin terlepas daripada tindakan tatatertib di dunia tetapi di akhirat, tiada yang terlepas daripada segala hukuman.

Semoga apa jua pekerjaan yang kita lakukan akan diberkati dan dirahmati olah Allah... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...