Tentunya anda pernah mengalami kecederaan di rumah samada
terluka, melecur, membengkak dan sebagainya. Terkadang anda tidak tahu
bagaimana untuk merawatnya lebih awal jika berlaku kecederaan yang boleh dianggap kecil.
Apabila ini berlaku anda tentunya membawa ke klinik atau pun hospital yang
berdekatan, dan ini akan meningkatkan kos hidup anda. Sedangkan kecederaan
kecil ini anda boleh merawatnya sendiri dan pastinya ia akan menjimatkan kos
perubatan anda.
Jadi apa yang anda perlu lakukan bila menghadapi kecederaan
kecil sedemikian? Mari kita semak dengan teliti beberapa panduan atau tips di
bawah kerana suatu hari nanti anda mungkin memerlukannya;
1. Kecederaan Di Kepala
Berlaku akibat terjatuh di lantai atau terhantuk di dinding
mahupun pintu atau pada objek yang keras. Ianya akan menyebabkan bahagian
kepala akan membengkak atau benjol. Apa yang anda boleh lakukan ialah dengan
menuamya dengan ais yang dibalut dengan kain bagi melegakan bengkak dan sakit.
Perhatikan perubahan untuk empat hingga enam jam. Sekiranya
terdapat tanda-tanda seperti muntah lebih dari tiga kali, pening kepala,
perubahan pertuturan dan penglihatan atau pun pernafasan tidak normal maka
segeralah dapatkan rawatan doktor.
2. Luka
Sering terjadi kecederaan ringan seperti luka kecil, calar
dan sebagainya baik bagi dewasa mahu pun kanak-kanak. Anda tidak boleh ambil
mudah perkara ini kerana ianya boleh menyebabkan jangkitan lain pada luka atau
pun luka boleh menjadi semakin besar. Apabila ini berlaku, lakukan perkara
berikut
- Basuh luka daripada kotoran
- Bersihkan sekeliling luka dengan tuala lembab atau pun antiseptik
- Sekiranya terdapat kotoran pada luka, gunakan putik kapas
untuk membersihkannya
- Letakkan ubat luka yang berkenaan
- Lindungi luka dengan membalutnya dengan plaster
- Sekiranya luka yang besar dan pendarahan tidak boleh
dikawal sebaiknya dapatkan rawatan doktor kerana ia mungkin perlu dijahit.
3. Melecur Atau Terbakar
Jangan sesekali disapukan mentega, minyak, kicap dan
sebagainya pada kulit yang melecur atau terbakar. Mengutil kulit yang melecur
juga perlu dielakkan kerana tindakan ini akan meningkatkan risiko jangkitan
kuman. Apa yang perlu dilakukan ialah;
- Sejukkan bahagian yang melecur dengan air dingin selama 10
minit
- Apabila bahagian melecur sudah disejukkan, lindunginya
dengan pembalut.
- Sekiranya bahagian bawah kulit turut melecur sebaiknya
dapatkan rawatan doktor.
4. Gigitan Serangga
Sekiranya anda disengat oleh tebuan atau pun lebah ketika
sedang berahat di beranda rumah atau melakukan kerja-kerja taman, secepat
mungkin keluarkan sengatnya dengan menggunakan objek tumpul. Elakkan dari
menggunakan penyepit untuk menarik sengatnya kerana ia mungkin menyebakan
bisanya akan merebak.
Tuam bahagian yang disengat dengan tuala sejuk untuk meredakan kesakitan dan
bengkak. Selepas itu letakkan antiseptik. Sekiranya tersengat di bahagia mulut
atau leher, segeralah ke hospital kerana bengkak mungkin menghalang pernafasan.
5. Retak Atau Patah
Patah atau keretakan pada tulang memerlukan rawatan
kecemasan dan x-ray untuk melihat tahap keseriusannya. Sekiranya anda merasakn
anda mengalami kecederaan ini, berikut adalah simptom yang perlu anda
perhatikan
- Bengkak dan sakit di bahagian yang tercedera
- Kesukaran untuk menggerakkan bahagian tercedera
- Tidak mampu menggerakkan bahagian tercedera
- Tidak dapat mengimbangi tubuh
Sedikit tips, jangan alihkan mangsa yang tercedera sekiranya
kecederaan yang berlaku melibatkan leher dan bahagian belakang kerana ia boleh
menyebabkan kecederaan yang lebih teruk.
Untuk lebih bersedia bagi merawat sekiranya mengalami
kecederaan kecil, anda perlulah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah peti pertolongan cemas / peti
kecemasan yang lengkap dengan ubat-ubatan di dalam rumah anda. Simpanlah
ditempat yang selamat dan mudah untuk diambil tetapi tidak mudah dicapai oleh
kanak-kanak.
Semoga bermanfaat, sekian...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan