Seseorang hamba Allah SWT itu perlu menyedari akan adanya
sebuah musuh yang sentiasa berusaha dengan muslihat, menyesatkan dan
memesongkan dirinya daripada jalan Allah SWT. Berbagai taktik dan cara
digunakan tanpa kita sedari yang membawa kita ke arah jalan yang dimurkai oleh
Allah SWT terutamnya dengan harapan-harapan yang tinggi.
Oleh kerana itu kita
digalakkan berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar diberikan petunjuk jalan
yang lurus, diberi kebaikan dunia dan akhirat. Inilah harapan yang kita perlu sandarkan
kepada Allah SWT bagi meneruskan kehidupan, namun ada juga di antara kita yang
tertipu dengan menaruh harapan melalui bisikan syaitan.
Ingatkah lagi kisah tentang Nabi Adam. Nabi Adamlah
manusia pertama yang disogokkan dengan harapan melalui bisikan syaitan.
Akhirnya harapan yang diberikan oleh syaitan itu sebenarnya merupakan tipu daya
yang menyebabkan Nabi Adam dikeluarkan daripada syurga Allah SWT dan dihantar
ke dunia. Manusia yang diangkat sebagai Nabi oleh Allah SWT pun boleh terpedaya
dengan syaitan, apa lagi kita ini sebagai manusia biasa yang tidak mempunyai
apa-apa.
Mencari kepuasan hati, ketenangan dengan jalan maksiat,
dan kaya dengan jalan bakhil antara jalan yang sering digunakan oleh syaitan
untuk menawan hati manusia supaya berharap kepada dunia dan melupakan pencarian
akhirat. Kita dapat lihat bagaimana Raja Namrud contohnya sebagai manusia yang dibisikkan
untuk tidak merasa puas hati oleh syaitan akhirnya dikuasai perasaan tidak puas
hati yang meluap-luap terhadap Nabi Ibrahim lalu dia mendera dan menzalimi Nabi
Ibrahim bagi memberi kepuasan dalam hati Raja Namrud.
Begitu juga, apabila berlakunya pergolakan dalam
rumahtangga, berbagai helah sehingga kekerasan dilakukan untuk menyakiti
pasangan bagi mendapatkan perasaan puas hati. Tapi sebenarnya apa yang
dilakukan itu tidak memberikan ketenangan atau apa-apa penyelesaian bagi mereka
yang menurut bisikan syaitan. Oleh kerana itu, Islam selalu mendidik umatnya untuk sentiasa bersabar dalam segala
perkara, dan Allah SWT telah menjanjikan darjat yang tinggi kepada orang yang
sabar serta bersedia memaafkan orang yang berbuat kesalahan terhadap dirinya.
Itulah yang dikatakan sebagai ubat hati.
Hati yang kosong ialah orang yang hatinya jauh daripada
mengingati kekuasaan Allah SWT, tidak berpegang dengan panduan hidup yang
dibekalkan kepadanya menerusi al-Quran dan jauh daripada mengamalkan panduan
ditinggalkan Rasulullah SAW melalui hadisnya. Hati seperti ini mudah
dipengaruhi syaitan keran sentiasa berasa kosong dan sunyi. Fikiran dipandu suara
negatif akhirnya menyebabkan perbuatan yang tidak sesuai dengan syariat Islam.
Kesunyian dan kekosongan menyebabkan seseorang itu akan
mencari-cari keseronokan atau hiburan dengan harapan untuk mengisi kehampaan
akibat kesunyiannya. Tidak sedikit mereka yang mempunyai kedudukan atau pangkat
tinggi, kelihatan zahir mempunyai kesempurnaan tetapi mencari ketenangan dengan
jalan maksiat. Mereka tercari-cari jalan untuk mengubat hati yang kosong dan
tidak tenang. Ada yang mengambil dadah, minum arak, melanggan teman sosial,
namun masih tidak membawa kepada ketenangan untuk mengisi hati yang kosong. Akhirnya
semua itu memakan diri sendiri kerana berasa tenang dengan jalan maksiat yang
memusnahkan kehidupan dan jauh dari rahmat Allah SWT.
Orang dipengaruhi harapan daripada syaitan yang
menjanjikan kekayaan itu datang dengan memiliki sifat bakhil dan kedekut.
Mereka mempercayai sikap kedekut dan bakhil itulah yang menyebabkan mereka
dapat mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya. Rasulullah SAW bersabda: "Harta
tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambah kepada
seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain)
melainkan kemuliaan kepadanya dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan
Allah akan mengangkat darjatnya." (Riwayat Muslim) Amalan memberi sedekah
kepada yang memerlukan amat digalakkan dalam Islam.
Syaitan telah berjanji untuk menyesatkan manusia akan
memperdaya hati serta fikiran seseorang supaya merasa berat mengeluarkan harta
atau wang ringgitnya ke jalan sedekah dan infak. Mereka yang dipengaruhi
bisikan ini akan diperhambakan dan disibukkan urusannya dengan mencari wang dan
harta. Walaupun mencari harta dan kekayaan digalakkan dalam Islam, tetapi ia
perlu berlandaskan kepada usaha, ikhtiar dan seterusnya reda serta tawakal
kepada Allah SWT atas pemberian-Nya. Harta dan rezeki seharusnya melapangkan
dada dan bertujuan memberi khidmat kepada empunya harta itu. Ia juga sebagai jalan
kita memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT dengan mengembalikan
sebahagiannya ke jalan yang diredai-Nya. Usaha mencari rezeki adalah satu
kewajipan manusia tetapi yang mengurniakan kekayaan itu adalah semata-mata
urusan Allah SWT.
Tiga panduan dalam menilai keberkatan harta iaitu harta
itu membawa kepada kebaikan, semakin berharta semakin tenang hatinya, harta itu
mencukupkannya dan banyaknya menggembirakan seseorang. Jika harta itu sering
memberi kerunsingan hati dan selalu merasa tidak cukup, periksalah semula akan
jalan masuknya harta itu dan bagaimana kita membelanjakannya. Berhati-hatilah
dengan harapan yang kita pertaruhkan dalam hidup ini sama ada berlandaskan iman
atau bisikan syaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan