Bila mengimbau kembali sejarah di zaman kepimpinan Saidina
Abu Bakar As Siddiq selepas kewafatan Rasulullah SAW yang memerrangi golongan
yang enggan membayar zakat. Terlintas di fikiran mengapa ianya menjadi agenda
penting dalam kepimpinan beliau. Ternyata beliau berada pada landasan yang
betul apabila melihat besarnya rahmat dan kasih sayang Allah kepada umat islam
dalam kewajipan zakat.
Di zaman ini ‘perang’ kepada golongan yang enggan membayar
zakat berlainan pendekatan ‘perangnya’, lebih kepada psikologi dan penyebaran
maklumat untuk menyedarkan umat islam tantang kewajiban Rukun Islam yang
keempat ini. Di akhir tahun, banyak pendekatan
dilakukan samada iklan, di forum-forum, ceramah-ceramah malah kepada
pembukaan pusat pungutan zakat yang dibuka 7 hari seminggu.
Kewajipan berzakat banyak Allah swt rakamkan dalam al-quran,
begitu juga dalam Sunnah-sunnah Rasulullah saw, menyedarkan kita tentang begitu
tingginya amalan ini di sisi Allah swt. Tidak perlulah dinyatakan disini, kita
boleh merujuk dengan membaca kitab-kitab sahih atau lagi mudah membuat carian
di internet. Apa yang pasti kewajipan ini menunjukkan betapa besar dan
tingginya rahmat dan kasih saying Allah swt kepada kita. Bayangkan seandainya
kewajipan zakat ini tidak ada pasti ramai lagi di antara kita yang lupa diri,
bongkak, sombong dan meninggi diri dengan kelebihan harta yang kita ada.
Dengan berzakat Allah swt ingin mengajar dan mengingatkan
kita bahawa kurniaan harta yang diberikan kepada kita bukanlah semua hak kita
tetapi ada hak kepunyaan orang lain yang kurang bernasib baik daripada kita.
Itupun hanya lebih kurang 2.5% daripada harta yang kita ada dan mengikut
perkiraan dan kelayakan tertentu. Banyakkah nilai itu berbanding apa yang telah
Allah swt kurniakan kepada kita?
Apabila kita melaksanakann zakat, In Syaa Allah hati-hati
kita akan lembut bila teringatkan mereka yang tidak mempunyai apa-apa,
hilanglah rasa kebakhilan dalam hati kita, timbullah rasa kehambaan kepada
Allah swt kerana harta yang kita ada sebenarnya milik Allah swt semuanya.
Bukankah ini rahmat dan kasih saying Allah swt kepada kita di sebalik kewajipan
zakat? Rasa syukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah swt kepada kita
menambahkan lagi rasa kemanisan iman dan dekatnya kita dengan Allah.
Jadi kepada saudaraku tunggu apa lagi, marilah kita bersama
melaksanakan suruhan Allah swt ini. Ambillah peluang rahmat dan kasih sayang Allah
swt ini. Sambungkan kasih sayang dan silaturahim kita kepada golongan Asnaf,
golongan yang memerlukan, golongan yang kurang bernasib baik daripada kita.
Semoga dengan itu, kita sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah serta
diberikan rezeki berlipat kali ganda. Renunglah firman Allah swt ini dari Surah
al-Taubah (9) :103
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah
(zakat), supaya dengannya engkau membersihkan
mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan
doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi
mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetauhi”
Hidupku Matiku kerana Allah swt...Semoga bermanfaat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan