NuffnangAds

Selasa, 13 Oktober 2015

SALAM MA’AL HIJRAH 1437H: HIJRAH DIRI MEMERLUKAN ILMU DAN PENGORBANAN

Hijrah mempunyai dua pengertian: hijrah secara fizikal dari satu negeri ke negeri yang lain, dan hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya. Inilah hijrah yang hakiki yang menjadi tunjang kepada hijrah jasmani. Perkataan hijrah mengandungi elemen, ‘dari’ dan ‘ke’ atau ‘daripada’ dan ‘kepada’. Jadi hijrah hati bermaksud berhijrah daripada cinta kepada selain Allah kepada cinta kepada Allah, daripada ubudiah kepada makhluk kepada ubudiah kepada Allah, daripada takut, berharap dan bertawakkal kepada selain Allah kepada takut, berharap dan bertawakal kepada-Nya.


Bukan mudah untuk memulakan penghijrahan dan bagi mereka yang berdepan masalah disarankan supaya kembali kepada al-Quran serta sunah Rasulullah SAW kerana berbekalkan ilmu daripada wahyu Allah SWT, proses itu akan lebih mudah.  Sering kita lihat ada yang berubah, tetapi ianya tidak lama kerana tidak ada ilmu, ini kerana gagal menghayati sepenuhnya perubahan yang ingin dilakukan itu. Apabila keadaan ini berlaku, kita perlu melihat perkara perlu jika ingin melakukan penghijrahan.

Selain ilmu, golongan yang ingin berubah ke arah kebaikan digalakkan berkawan dengan orang yang baik yang boleh menjadi pendorong serta pemberi semangat kepada mereka seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang yang benar." (Surah at-Taubah, ayat 119)

“Bersama” adalah kata kunci yang membantu menjayakan niat serta usaha mereka yang berhijrah kerana apabila bersama dengan golongan yang sudah berada di jalan kebaikan maka untuk sama-sama melakukan kebaikan akan lebih senang. Sebagai contoh kisah lelaki yang membunuh 99 orang yang ingin berubah, tetapi apabila ada mengatakan dia tidak boleh berubah, maka dia genapkan mangsanya kepada 100. Namun, apabila ada menasihatkan dia pergi ke tempat lain untuk menemui seseorang, dia pergi berhijrah ke tempat itu. Maknanya jika dia berada di tempat yang betul dengan kelompok yang benar, perubahan atau penghijrahan itu boleh berlaku. Apabila sudah mula berhijrah, kita hendaklah istiqamah iaitu konsisten dalam amalan.

Nabi Muhammad SAW berpesan kepada kita, sebaik amal di sisi Allah SWT itu adalah yang berterusan walaupun sedikit. Jadi, jika nak mula jangan pula kita menetapkan penanda aras terlalu tinggi. Sebagai contoh kita boleh mula solat jemaah satu waktu dulu di masjid, kemudian dua waktu hingga boleh solat berjemaah lima waktu.  Apabila lengkap solat berjemaah lima waktu di masjid, kita tambah dengan melaksanakan solat sunat pula. Untuk berhijrah perlu lahir daripada diri sendiri, lakukan sedikit demi sedikit dan lakukan sekarang.

Kesimpulannya, berhijrahlah kepada yang lebih baik dalam semua perkara dengan niat yang bulat dan kesungguhan yang benar dengan ilmu dan pengorbanan. Salam Ma’al Hijrah 1437H untuk semua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...