Diilhamkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Muzium
Automobil Nasional di Welcome Centre, Litar Antarabangsa Sepang dibuka kepada
orang ramai pada Mac 2004 bagi memaparkan perkembangan sejarah sistem
pengangkutan dan industri automotif nasional serta kejayaan negara menerokai
industri ini.
Ia juga diwujudkan bagi memaparkan beberapa model kereta dan motosikal
buatan tempatan serta kenderaan import yang pernah digunakan di negara ini.
Muzium dua tingkat yang bersaiz sederhana, tetapi penuh informasi ini,
pengunjung akan disajikan dengan maklumat mengenai sejarah perkembangan sistem
pengangkutan di Malaysia diikuti dua segmen iaitu Litar Antarabangsa Sepang dan
segmen Klasik dan Vintaj.
Melalui Segmen Litar Antarabangsa Sepang, di setiap dinding laluan
dipenuhi gambar kereta lumba Formula 1. Ia memaparkan sejarah bermulanya
perlumbaan berprestij itu di Malaysia yang diterangkan melalui paparan gambar
menarik. Bagi peminat perlumbaan Formula 1, ia pasti memberikan kepuasan kepada
mereka. Segmen itu juga memaparkan gambar perlumbaan motosikal berkuasa tinggi
seperti MotoGP dan beberapa acara besar bertaraf antarabangsa lain yang
diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.
Sementara itu, Segmen Klasik dan Vintaj pula mempamerkan model kereta
lama yang sudah tidak dikeluarkan lagi di negara pengeluarnya. Koleksi kereta
klasik dan vintaj ini dulunya dimiliki orang Malaysia dan dibawa masuk ke
negara ini selepas Perang Dunia Kedua. Antaranya, model MGTD, Alvis Tourer,
Jaguar D-Type, Austin Healy 3000 dan Ford Speedster manakala Brushmobile pula
kereta tertua dan termahal dipamerkan di galeri ini.
Ruang pameran di tingkat dua pula memaparkan lima segmen industri
automobil nasional agar pengunjung mendapat maklumat mengenai sumbangan lima
syarikat tempatan iaitu DRB-Hicom, Proton, Bufori, Modenas dan Perodua yang
menerajui, membangun dan memajukan industri ini.
Gambar pelancaran kereta pertama Proton iaitu Proton Saga pada 1985
hingga model terkini memperlihatkan revolusi pembuatan kereta nasional itu. Walaupun
menjadi kereta pertama keluaran Proton, model Proton Saga tidak ditempatkan di
muzium ini kerana ia dipamerkan di Muzium Negara.
Apa yang pasti membuatkan pengunjung terpegun ialah saat melihat lori
komersial pertama keluaran DRB-Hicom iaitu Perkasa. Ini kerana Perkasa ialah
lori komersial pertama dikeluarkan negara, tetapi tidak ramai mengetahui
kewujudannya.
Memasuki ruang pameran kereta keluaran Perodua, pengunjung dapat
menyaksikan sendiri sejarah dan perkembangan kereta nasional kedua itu. Bermula
dengan Kancil, diikuti Kenari dan Kembara serta penambahbaikan pada model lain
keluaran Perodua memperlihatkan kreativiti syarikat itu menghasilkan kereta
yang selesa dan ekonomik kepada pengguna. Dilihat pada carta pengeluaran kereta
Perodua, hampir setiap tahun bermula dari 1994 , ada saja model terbaru
dikeluarkan atau penambahbaikan model sedia ada.
Memasuki satu lorong kecil di muzium ini, pengunjung berpeluang melihat
revolusi enjin kereta Proton. Lebih menarik, komponen penting kereta dileraikan
buat tatapan pengunjung.
Segmen model motosikal lama yang pernah meluncur di jalan raya negara
pula bagaikan mengimbau nostalgia terutama peminat ‘kuda besi’ ini. Mana
tidaknya, model motosikal Modenas yang dipamerkan sudah tidak dikeluarkan di
pasaran lagi.
Bagi peminat kereta mewah Bufori, tingkat atas muzium ini mempamerkan
kereta terkini jenama itu. Menariknya mengenai kereta Bufori, ia pengeluar
kereta sport buatan tangan. Muzium ini turut menyediakan perpustakaan mini dan
bilik tayangan untuk pengunjung yang mahukan lebih maklumat.
Dibuka setiap hari kecuali hari pertama Aidilfitri dan Aidiladha, muzium
ini tidak mengenakan sebarang bayaran masuk. Pengunjung boleh berkunjung secara
‘walk-in’ atau menghubungi pihak muzium bagi yang datang secara berkumpulan dan
mahukan lawatan berpandu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan