NuffnangAds

Ahad, 25 Oktober 2015

KUNCI KEJAYAAN JANGKA PANJANG




Ramai yang menyangka latar belakang keluarga, pendidikan, kepandaian, kenalan  yang mempunyai pengaruh adalah antara faktor penting untuk mencapai kejayaan. Tetapi benarkah begitu? Adakah yang berjaya datang daripada keluarga kaya, berpendidikan tinggi dan mempunyai ramai kenalan yang berkuasa?

Lelaki dan wanita yang berjaya dalam hidup dan besar kemungkinan mencapai status ekonomi yang baik adalah mereka yang membuat penilaian masa depan dalam setiap keputusan yang diambil. Mereka merancang dan bertindak sekarang, dengan mengambil kira kehidupan masa hadapan. Dengan kata lain, mereka bukan sekadar melakukan sesuatu hari ini,untuk hari sahaja.


Menentukan keutamaan dalam perancangan serta tindakan adalah kunci kejayaan, dan juga boleh dikatakan perspektif jangka panjang. Anda boleh menilai kepentingan sesuatu perkara sekarang, dengan mengambil kira potensi kesannya kepada kehidupan pada masa hadapan.

Contohnya, jika anda memilih untuk bermesra dengan anak-anak dan isteri/suami setelah pulang kerja bukan sekadar bersandar menonton televisyen atau membaca surat khabar atau melayan sosial chat, anda sebenarnya bertindak mengikut perspektif jangka panjang. Dengan memperuntukan masa berkualiti untuk kebahagian dan kesejahteraan keluarga, anda sebenarnya telah meletakkan keutamaan dalam penggunaan masa. Potensi kesan masa depan bagi penggunaan masa berkualiti itu juga amat tinggi.

Logiknya memang mudah, jika hari ini seseorang lebih senang membazirkan masa dengan melapak dan melakukan perkara-perkara tidak berfaedah, besar kemungkinan dia tidak  berjaya di dalam hidupnya berbanding seorang yang menggunakan masanya dengan mempertingkatkan ilmu dan kemahiran agar dapat melangkah jauh ke hadapan.

Sesetengah ahli ekonomi berpandangan, punca utama seseorang menghadapi kegagalan ekonomi dan peribadi adalah ketidakmampuannya untuk menahan nafsu. Secara fitrah individu cenderung membelanjakan pendapatan mereka, malah ada kalanya melebihi daripada pendapatan yang diperolehi.

Sebaikanya belajar mendisiplinkan diri melakukan perkara betul dan penting. Sungguhpun sukar dilakukan, inilah sebenarnya jalan untuk meningkatkan martabat diri, harga diri dan kepuasan peribadi. Percayalah semua pengorbanan anda hari ini, mempunyai ganjaran berganda pada masa hadapan.

Ada beberapa langkah yang boleh diambil segera untuk menjayakan idea-idea ini. Pertama, berfikir dari segi jangka panjang. Duduk dan tulis gambar kehidupan ideal anda 10 atau 20 tahun akan datang. Ini secara automatik akan mengembangkan perspektif jangka panjang.

Kedua, bagi setiap perkara yang anda lakukan, lihatlah kesan jangka panjang ke atas hidup anda. Lakukan lebih banyak perkara yang mempunyai nilai jangka panjang kepada diri anda.


Ketiga, bina tabiat menahan nafsu walaupun perkara-perkara kecil, dalam berbelanja atau berseronok agar anda boleh menikmati ganjaran dan kepuasan lebih besar di masa hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...