Apabila menyentuh tentang soal diet,
perkara yang terlintas di minda kita hanyalah pil kurus, jamu, dan ikat perut.
Disebabkan itu ramai dalam kalangan kita yang dikatakan sedang ‘berdiet’
dimasukkan ke hospital gara-gara mahu menurunkan berat badan.
Memang tidak dinafikan dengan
mengawal makan dan mengambil pil-pil kurus, mampu mengembalikan bentuk badan
yang langsing, namun mengamalkan diet yang tidak tepat, berat badan ideal yang
berjaya dicapai tidak semena-semena kembali naik malah kesihatan juga mungkin
terjejas.
Ramai yang tersalah anggap jika mahu kurus
mereka tidak boleh makan. Sedangkan apabila mereka tidak mematuhi jadual
pemakanan, kadar metabolisme akan turun mendadak lalu menyukarkan mereka
menurunkan berat badan. Kesalahan utama mereka yang gagal mendapatkan berat
badan ideal adalah disebabkan tidak tahu cara yang betul untuk menetapkan
sasaran penurunan berat badan yang realistik dan selamat.
Tiada undang-undang khusus untuk
menurunkan berat badan. Apa yang paling penting adalah ilmu nutrisi dan
perubahan kepada gaya hidup yang sihat. Sokongan daripada orang sekeliling juga
amat penting kerana motivasi yang tinggi amat diperlukan jika mereka serius
untuk melakukannya. Jika mereka memandang rendah keinginan kita untuk
menurunkan berat badan, berkemungkinan kita boleh gagal mencapai sasaran.
Pengambilan kumpulan makanan yang
salah juga banyak berlaku dalam kalangan mereka yang berdiet terutama sekali
tentang pengambilan nasi. Ramai yang mengelak untuk mengambil hidangan nasi
sedangkan mereka tidak perlu berpantang 100 peratus nasi kerana makanan yang
berlemak dan manisan yang akan menyebabkan kegemukan. Walaupun mereka tidak
mengambil nasi, jika kandungan kalori di dalam badan melebihi keperluan turut
akan mengganggu proses penurunan berat badan.
Menghentikan sesuatu nutrisi seperti
karbohidrat dalam pemakanan bukanlah sesuatu yang bijak dan tidak berkesan
untuk jangka masa yang lama kerana nasi adalah makanan ruji orang Asia. Namun,
nasi yang mengandungi karbohidrat jika diambil berlebihan boleh membahayakan
kesihatan kerana akan menukarkan kepada lemak, jadi sukatan yang dicadangkan
adalah semangkuk kecil nasi bersama sayur-sayuran dan sedikit protein.
Selain pemakanan, setiap orang juga
tidak boleh mengabaikan gaya hidup aktif kerana membantu mengekalkan kadar
metabolisme di dalam badan. Setiap orang digalakkan bersenam pada setiap hari
selama 30 hingga 40 minit pada setiap sesi, dengan bersenam dua atau tiga kali
seminggu.
Kini ramai orang Malaysia mula
mengikuti diet-diet yang diperkenalkan dan popular dari negara-negara Barat
seperti diet Atkin dan diet detox, namun bukan semuanya bersesuaian serta
mempunyai pro dan kontranya. Diet Atkin yang dikenali sebagai diet rendah
karbohidrat popular diamalkan oleh golongan yang mahu kurus dengan cepat, namun
sebenarnya hanya berhasil dalam tempoh jangka masa yang pendek sahaja.
Konsep diet Atkin adalah mengurangkan
karbohidrat dalam diet tetapi melebihkan makanan yang tinggi dengan protein,
sedangkan jumlah pengambilan protein yang disyorkan adalah satu gram bagi
setiap berat manusia. Namun, badan kita memerlukan semua zat makanan, bukan
bergantung kepada protein semata-mata. Protein akan mengambil masa yang lama
untuk dicerna dan boleh memberi tekanan kepada buah pinggang. Mungkin ramai
yang mengamalkannya namun bukan dalam tempoh masa yang lama, dan apabila
keadaan itu berlaku, berat badan kembali naik kerana badan mula menerima
karbohidrat.
Bagi diet detox pula, adalah diet
berasaskan tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, dan sayur-sayuran hijau bertujuan
mencuci sistem penghadaman dan dikatakan memberi tenaga kepada sel. Diet ini
juga tidak digalakkan kerana tidak memberi sumber tenaga yang mencukupi. Detox
hanya memberi kebaikan kepada mereka yang menghadapi masalah pencernaan seperti
sukar membuang air besar, tetapi bukan orang yang normal.
Diet yang disyorkan adalah diet
seimbang, yang mampu membekalkan nutrien mencukupi kepada pengamalnya kerana
mengandungi kesemua nutrisi diperlukan daripada semua kumpulan makanan untuk
fungsi sel-sel badan, organ dan tisu. Mengamalkan diet yang seimbang boleh
meringankan masalah kesihatan termasuk masalah jantung, artritis, tekanan darah
tinggi dan kolesterol. Badan yang seimbang dari segi mental dan fizikal memberi
kecergasan dan kekuatan yang lebih, membolehkan kita menjalani kehidupan lebih
panjang dan sihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan