Ajaran Islam sebenar menggalakkan manusia berusaha, bekerja
keras, tidak mudah berputus asa, malah menyuruh umat islam terus bekerja walau
pun esok akan kiamat, dan beramal seolah-olah maut menjengah. Pendek kata,
dalam bekerja mahu pun beramal, Islam menuntut kita melakukan sebaik mungkin
mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
Begitu juga dalam mencari harta kekayaan. Tangan yang memberi
lebih baik daripada yang menerima, membayar zakat lebih utama daripada
menerimanya. Umat Islam digalakkan bersedekah, merupakan antara anjuran di
dalam Islam yang secara tidak langsung menyatakan, adalah lebih baik umat Islam
menjadi kaya daripada miskin.
Bagaimana pun dalam usaha menghimpun harta kekayaan, Islam
juga memberi panduan dan peringatan, tidak menindas, tidak mengambil kesempatan
atas kesusahan atau kejahilan orang lain, jangan menipu, mencuri atau mengambil
hak orang lain, haram mengamalkan riba, berjual beli barang dan perkhidmatan
yang jelas haram, mengelak perkara-perkara subhah dan sebagainya.
Pelbagai bentuk pelaburan yang muncul dalam internet yang
khabarnya boleh menjadikan seorang pelabur mendapat untuk berlipat ganda dalam
jangka masa singkat. Pelaburan ini menjanjikan untung lumayan sebegini bersilih
ganti dalam masyarakat kita. Pelbagai skim cepat kaya yang muncul dan akhirnya
ramai menjadi mangsa dan jumlah wang yang lebur begitu sahaja bukan sedikit.
Hairannya, apabila muncul skim-skim lain yang mempunyai ciri-ciri
yang sama, masih ramai yang berani menyertainya, dan berani mengambil risiko
kerana terpikat dengan keuntungan berganda serta ingin cepat kaya. Akibatnya
tidak perlulah diceritakan, ramai pun yang sudah tahu.
Walau apa pun yang ingin diceburi samada bentuk pelaburan
dalam internet atau apa sahaja jenis perniagaan perlulah dengan ilmu dan kajian
yang teliti. Pelbagai bentuk pemasaran skim pelaburan yang meruntun jiwa dan
nafsu sekiranya tidak diperhalusi dengan ilmu dan kajian. Sentiasa berhati-hati
dalam menilai peluang-peluang yang ada sekarang, dan yang penting ialah
keberkatan dalam mencari rezeki.
Islam sedikit pun tidak melarang umatnya menjadi hartawan
atau jutawan apatah lagi jika semua itu dicapai melalui perancangan hidup yang
teliti, usaha yang gigih, jujur, dan menepati syariat. Semoga kita menjadi
jutawan bukan sahaja di dunia juga di akhirat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan