Ketika, tiba-tiba nyawa tercabut daripada jasad, apakah
kita sudah bersedia untuk bertanggungjawab terhadap hidup kita jalani di dunia.
Kehidupan dunia yang selama ini kita tempuh adalah ujian Ilahi untuk membezakan
siapakah manusia yang baik dan buruk amalnya. Manusia yang baik amalnya, maka
jaminannya adalah syurga penuh kenikmatan, manakala yang buruk amalnya, akan
dihumbankan ke dalam neraka penuh kesengsaraan.
Hidup di dunia diibaratkan ladang untuk mencari bekalan
terbaik menghadap Allah yang Maha Besar. Untuk itu, ada sejumlah bekalan yang
seharusnya dipersiapkan setiap insan yang beriman kepada Allah SWT.
Pertama, bekalan paling utama untuk menghadap Allah
adalah takwa. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu membawa
bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa
iaitu memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku
wahai orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)." (Surah
al-Baqarah, ayat 197)
Takwa adalah bekalan setiap insan yang beriman. Tanpa takwa, Allah SWT tidak
akan reda dan tidak akan memberikan pertolongan kepada hamba-Nya. Tanpa takwa
juga, Allah SWT tidak akan menerima amalan hamba-Nya.
Kedua, bekalan ilmu kerana Allah SWT berfirman yang
bermaksud: "Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah)
Allah daripada kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. Sesungguhnya
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." (Surah Fathir, ayat 28)
Menuntut ilmu kewajipan bagi setiap Muslim dan Muslimah.
Jika kita enggan belajar dan menuntut ilmu, maka kita akan mudah melakukan
kesilapan, tidak pula melakukan kebaikan, malah tidak bermanfaat kepada orang
lain, tidak akan berjaya dalam hidupnya dan yang pastinya akan mudah tersesat.
Apatah lagi, orang rajin beramal tetapi tidak disertai dengan ilmu yang benar,
maka dia adalah seperti seorang yang berjalan bukan pada jalannya. Pendek kata,
kita kena beringat supaya jangan sampai amalan dilakukan hanya sia-sia kerana
tidak didasari ilmu yang benar.
Ketiga, bekalan tawakal. Allah SWT berfirman yang
bermaksud: "Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada
Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah
telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."
(Surah al-Thalaq, ayat 3)
Tawakal akan menanamkan dalam hati insan sifat
kesungguhan, menggantungkan harapan hanya kepada Allah Yang Maha Esa. Setiap
insan hanya berdaya berusaha, berikhtiar dan berdoa, manakala natijah dan hasil
segala sesuatu itu Allah SWT yang menentukan.
Keempat, bekalan selanjutnya adalah syukur. Allah SWT
berfirman yang bermaksud: "Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu
bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepada- Nya)? Dan (ingatlah)
Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang yang bersyukur
kepada-Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka)." (Surah
al-Nisa', ayat 147)
Bentuk rasa syukur itu meliputi syukur dengan lisan, hati dan tindakan kita.
Ingatlah bahawa sesungguhnya nikmat itu akan lestari kerana syukur kita kepada
Ilahi, sebaliknya ia akan hilang dengan kufur kita kepada nikmat dikurniakan.
Kelima, bekalan sabar. Allah SWT berfirman yang
bermaksud: "Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk
menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar
dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai
(menolong) orang yang sabar." (Surah al- Baqarah, ayat 153) Apa pun
pekerjaan dan di mana juga berada, setiap insan sangat perlu menghiaskan diri
dengan sifat sabar.
Seorang guru sudah tentu dituntut bersabar mengajar anak
didiknya. Begitu juga majikan mestilah bersabar berdepan pelbagai kerenah anak
buahnya. Bahkan, orang yang ditimpa musibah juga harus sentiasa bersabar.
Jadikanlah sabar sebagai penolong kita kerana yakinlah bahawa Allah SWT bersama
dengan orang yang bersabar terhadap ujian hidup di dunia ini.
Bekalan yang seterusnya adalah zuhud iaitu tidak mencintai dunia. Rasulullah
SAW bersabda: "Zuhudlah kamu terhadap dunia, nescaya Allah akan
mencintaimu dan janganlah kamu mencintai apa yang dimiliki manusia, nescaya
sekalian manusia akan mencintaimu!" (Riwayat Ibnu Majah) Mengutamakan
akhirat adalah bekalan yang bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal yang
baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka
mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya." (Surah
al-Isra', ayat 19)
Demikianlah antara
bekalan penting yang harus kita siapkan sebelum Allah SWT memanggil kita untuk
menghadap-Nya. Yakinlah, bekalan inilah yang menolong kita memikul taklif
kewajipan syariat dalam kehidupan dunia ini, mudah-mudahan kita beroleh
kebahagiaan dunia akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan