NuffnangAds

Khamis, 5 November 2015

BERHATI-HATI SEBAR DAN MENULIS MAKLUMAT


Sheikh Hamzah Yusuf ketika bertandang ke Malaysia tahun lalu pernah menyebut, hari ini orang mengumpat dan memfitnah tidak perlu berdua atau lebih. Walaupun berseorangan, mereka masih boleh mengumpat dan memfitnah orang lain.

Bagaimana? Melalui media sosial yang mereka lakukan sendirian, berseorangan di mana-mana sahaja. Dahulu, kesan atau implikasi orang mengumpat mungkin setakat mereka yang berada di sekeliling sahaja dan sebarannya agak perlahan. Pos kenyataan fitnah, untuk dikongsi ramai Hari ini, sekali kita poskan kenyataan fitnah, umpat dan pembohongan, semua pengikut dapat membacanya dan kemudian dikongsi dengan orang lain. Kemudaratannya besar sekali.


Oleh itu, menggunakan kemudahan internet dan media sosial perlu diiringi adab serta akhlak Islam. Pada asasnya, apa yang haram dituturkan maka haram juga hukumnya menulis. Jika mengumpat, berbohong, memfitnah dan seumpamanya itu haram hukumnya dengan lidah, maka menulis di Facebook, blog, Twitter, e-mel, WhatsApp, telegram dan sebagainya juga haram hukumnya.

Media sosial sepatutnya digunakan sebagai media dakwah kerana ia medium paling ampuh untuk menerangkan mengenai Islam, mendekatkan masyarakat kepada ajaran Islam serta memperbetulkan salah faham berkaitan Islam. Pengguna internet di Malaysia dianggarkan kira-kira 20 juta orang dengan 62 peratus mengguna media sosial. Hampir lima jam daripada masa mereka mengguna telefon pintar untuk tujuan mencapai internet.

Bayangkan jika kita guna kesempatan itu untuk mengakses begitu ramai pengguna. Apa juga berita yang dibaca di media sosial, anggaplah ia maklumat mentah yang perlu diproses untuk disahkan terlebih dahulu. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita menyiasat terlebih dahulu maklumat yang diterima supaya dapat dipastikan kesahihannya. Ini selaras Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila datang kepadamu orang fasik membawa berita, maka siasatlah terlebih dahulu supaya kamu tidak menimpakan mudarat kepada orang lain atas kejahilan kamu dan kemudiannya kamu menyesal." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Hari ini seolah menjadi aliran masyarakat untuk berkongsi atau memanjangkan apa sahaja maklumat yang diterima tanpa terlebih dahulu menyiasat kebenarannya. Jika apa yang dikongsikan itu adalah fitnah, maka kita yang turut memanjangkan maklumat itu turut bersekongkol memfitnah dan terjerumus dalam dosa. Ramai yang ghairah menjadi 'orang pertama' menyebarkan berita (breaking news) walaupun apa yang disebarkan itu mungkin tidak tepat dan palsu. Gambar bahkan video boleh dipalsukan, begitu juga dokumen boleh direka cipta bagi menampakkan yang palsu itu benar, yang batil itu hak dan berfakta.

Marilah bersama kita menjaga adab dalam berurusan di alam maya. Oleh itu, berhati-hati dan jangan menyangka bahawa kita bebas di alam maya, sedangkan kita akan dipersoalkan atas setiap perlakuan di Padang Mahsyar kelak.


Apapun, undang-undang dan peraturan, ia tidak akan mampu menyekat dan membendung salah laku. Hanya kekuatan iman dan keinsafan bahawa akhirnya kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT sahajalah yang akan menjadi benteng berakhlak mulia. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tiadalah seseorang itu mengucapkan apa-apa pun melainkan di sisinya ada yang menulis." (Surah Qaf, ayat 18) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...