NuffnangAds

Selasa, 3 November 2015

EGTUKAR 2016 : TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA


Dapat bertugas di tempat sendiri sesuatu yang amat menyeronokkan. Itulah impian setiap orang yang bekerja terutamanya warga pendidik seperti saya. Saban tahun EgTukar menjadi perkara yang wajib diisi oleh kebanyakan warga pendidik agar dapat berpindah tugas ke tempat sendiri.


Bertugas di tempat sendiri adalah yang diimpikan setiap orang. Banyak kelebihan yang diperolehi oleh kita jika dapat bertugas di tempat sendiri. Apatah lagi bagi mereka yang mempunyai ibu bapa yang sudah uzur dan memerlukan perhatian yang lebih daripada kita. Kerisauan kita terhadap ibu bapa sudah dapat dihilangkan. Dapat berkumpul dan berjumpa dengan ahli keluarga setiap hari sesuatu yang menggembirakan.

Bila bertugas jauh dari kampung halaman, terutamanya mereka yang berasal dari semenanjung dan bertugas di Sabah atau Sarawak dan sebaliknya pula pastinya amat merindukan untuk pulang bertemu keluarga. Untuk pulang memerlukan kos yang amat tinggi, apalagi jika sudah mempunyai keluarga yang ramai. Oleh kerana itu, jika dapat berpindah kos itu dapat dikurangkan dan boleh pula digunakan untuk perbelanjaan yang lain.

Kepada mereka yang tidak berjaya pindah ke tempat yang dipilih janganlah berputus asa. Ingatlah perancangan Allah itu lebih baik untuk kita. Mungkin kita belum lagi sesuai untuk berada di kampung halaman sendiri, khidmat kita masih diperlukan oleh orang lain. Banyak lagi yang perlu kita pelajari dalam hidup diperantauan yang akan menyedarkan kita betapa pentingnya hidup bermasyarakat berlainan budaya dan cara hidup.

Terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan yang mewujudkan sistem EgTukar. Walaupun tidak dapat memenuhi semua impian warga pendidik, sekurang-kurangnya ia dapat memberikan satu saluran dan peluang kepada warga pendidik untuk membuat permohonan pertukaran ke tempat pilihan.

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada semua warga pendidik, walau di mana kita bertugas dan walau sesiapa pun yang kita hadapi amanah dan tanggungjawab itulah yang perlu dilaksanakan dengan terbaik. Ingatlah firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah Ayat 216


”.... dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” (Al-Baqarah : 216). 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...