Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti terletak di sempadan
maritim antara Bintulu dan Miri meliputi kawasan seluas 186,930 hektar,
merupakan taman negara marin terbesar di negeri ini. Terletak kira-kira 30
minit menggunakan bot dari Miri.
Miri merupakan sebuah pusat menyelam yang sedang mendapat
perhatian, hasil dari koleksi terumbu karangnya yang cantik yang membentuk
Taman Negara Marin Miri-Sibuti, dengan kedalamannya dari 7-30 meter serta
mempunyai jarak penglihatan yang sederhana iaitu dari 10-30 meter.
Para penggemar aktiviti selam skuba mungkin belum sepenuhnya
mengetahui kewujudan satu destinasi tapak selaman di Sarawak iaitu di Taman
Negara Marin-Sibuti. Mana tidaknya, rata-rata penyelam skuba tidak begitu
mengetahui lokasi selaman di Taman Negara Marin Miri-Sibuti yang mempunyai
banyak lokasi terumbu karang cantik. Kebanyakan kaki selam skuba juga lebih
tertumpu melakukan aktiviti kegemaran mereka itu di pantai timur Semenanjung
atau Sabah.
Perairan Miri ini mungkin tidak setanding Pulau Sipadan di
Sabah, tetapi lokasi selam skuba yang ditawarkan tidak lokek dengan kekayaan
khazanah laut berbanding pulau lain di negara ini. Berbanding destinasi selam
skuba lain, ramai masih tidak tahu kewujudannya walaupun lokasi selaman ini
memiliki 30 tapak selaman.
Lebih menarik, terumbu karang dan spesies hidupan laut di
perairan itu masih belum diterokai sepenuhnya. Justeru, ia pastinya memberikan
pengalaman berbeza kepada penyelam skuba yang mahukan kelainan. Kepelbagaian
dan kemudahan akses untuk melihat sendiri keindahan terumbu karang dan hidupan
laut di sini menjadikannya antara lokasi yang terbaik di rantau ini.
Terumbu lembut dan keras yang menghiasi dasar laut dengan
koleksi gorgonians, sea-whips, anemones, sponges dan crinoids yang di perairan
ini nyata menakjubkan. Angel fish, ikan bagang, delah, kerapu, pari, trigger
fish, ikan bayan dan wrasses adalah antara pelbagai spesies hidupan laut yang
boleh ditemui di sini dan dilaporkan penemuan lebih daripada 40 spesies
nudibrankia dicatat.
Khazanah laut yang disajikan di perairan Miri cukup
mempesona dan pasti memberikan keterujaan yang tidak dapat digambarkan dengan
kata-kata. Kawasan ini berpotensi menjadi destinasi popular kepada penggemar
aktiviti selam skuba, lebih-lebih lagi ia mempunyai lokasi terumbu karang yang
'sihat', selain keunikan hidupan lautnya terutama membabitkan spesies mikro.
Rangkaian batu karang di Miri adalah khazanah alam semula
jadi yang bebas daripada aktiviti pencemaran manusia dan banyak lagi hidupan
lautnya yang masih belum diteroka. Tapak selaman di Miri ini adalah destinasi
terawal di Sarawak yang dikenal pasti untuk aktiviti selam skuba selain di
perairan Kuching. Menariknya, terdapat spesies mikro diperairan Miri ini yang
boleh ditemui dan ada antaranya sukar ditemui di tempat lain.
Tapak selam skuba yang paling dekat dengan pantai Miri ialah
Eve's Garden, Azam's Reff, Seafan Garden, Anemone Garden, Hatano Point, Sunday,
Siwa, Tusan, Lakim, Atagomaru Wreck, New Reef V dan Siwa Oil Rigs.
Tempat lain yang boleh diterokai termauklah Pelantar Minyak
Tukau, Barracuda Point, Sri Gadong Wreck, Beting Niah, Batu Butik, Berabok
Bubble, Gorgonian Paradise, Santak Point, Robert's Reef dan Batu Tar.
Jarak penglihatan dalam air antara 10 sehingga 30 meter dan
musim yang terbaik untuk mengunjungi destinasi selaman ini pada Mac hingga
September dan November. Selain kawasan menyelam semula jadi, perairan ini turut
menghidangkan tapak selaman kapal karam dan tukun tiruan.
Tapak selaman tukun tiruan iaitu Kenyalang Wreck adalah
salah satu lokasi tercantik di perairan ini dan ia dibangunkan tujuh tahun lalu
melalui usaha sama antara Shell dan PETRONAS.
Jadi, kepada semua penyelam-penyelam skuba jangan lepaskan
peluang berharga ini untuk meneroka Taman Negara Marin-Sibuti yang mempunyai
keunikan dan keindahan tersendiri. Pastinya ia menjanjikan pengalaman yang amat
berharga kepada penyelam dan pencinta alam sekitar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan