Mengikut Islam, peranan ibu bapa amat besar. Merekalah
yang bertanggungjawab ke atas masa hadapan anak. Mereka bertanggungjawab
memperkenalkan kepada anak nilai kasih sayang, erti kehidupan dan keperluan
kepada pengorbanan dalam menunaikan tanggungjawab. Dalam sebuah hadis disebut:
"Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibu bapanya yang
menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau Majusi". Fitrah di sini bermaksud
Islam. Oleh itu, setiap anak dilahirkan sebagai seorang Muslim, maka ibu bapanya
yang bertanggungjawab memberikan ajaran agama yang sempurna supaya anak itu
kekal di atas fitrah Islamnya dan memastikan anak itu tidak dipengaruhi oleh
suasana persekitaran negatif dan boleh menjejaskan fitrah imannya.
Anak adalah rezeki daripada Allah SWT. Pasangan yang
dikurniakan zuriat mestilah bersyukur atas rezeki kurniaan Allah itu. Di antara
bentuk rasa syukur adalah memperhatikan hak anak. Ibu bapa yang menunaikan hak
anaknya akan melahirkan anak yang taat kepada orang tuanya dan terbentuklah
watak anak salih yang menjadi tonggak pemimpin agama, bangsa dan negara. Islam
mengajar manusia dalam seluruh aspek kehidupan.
Dalam sebuah hadis lain pula Rasulullah SAW bersabda
bermaksud: "Sesungguhnya bagi jasad kamu ke atas kamu ada hak dan
sesungguhnya bagi anak kamu ke atas kamu ada hak". (Riwayat Muslim). Islam
mengajarkan hak anak yang harus dipenuhi oleh kedua orang tuanya.
Terdapat dua hak anak dalam Islam yang sering dilupakan. Hak
ini jarang disedari oleh kita kerana menyangka bahawa hak anak itu bermula
sejak hari kelahirannya, bahkan sebaliknya ia sebenarnya bermula sebelum mereka
lahir lagi.
Pertama ialah memilih ibu yang baik sebelum anak dilahirkan
lagi, Islam menetapkan bahawa hak seorang anak ialah memiliki ibu yang baik.
Justeru, seorang yang akan berkahwin harus mengambil perhatian dengan siapa dia
akan melayari kehidupannya. Rasulullah SAW mengajarkan kepada umatnya
yang ingin berkahwin untuk memilih wanita yang salihah dan beragama. Rasulullah
SAW bersabda maksudnya: "Seorang wanita dinikahi dengan empat perkara,
iaitu: kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana
agamanya. Pilihlah wanita yang beragama." Utama agama dalam memilih
pasangan Begitu juga bagi seorang wanita, dalam memilih suami hendaklah
mengutamakan yang beragama sehingga ada riwayat yang menyebut bahawa
"apabila kamu didatangi lelaki yang kuat agama dan baik akhlaknya
berhasrat meminang anakmu, maka terimalah pinangannya. Jika tidak, nescaya akan
berleluasalah fitnah".
Hak kedua yang kita sering juga abaikan iaitu membaca doa
ketika mendatangi isterinya, yang mana dalam Sahih Bukhari disebutkan
mafhumnya, "Seandainya seseorang di antara kalian ketika mendatangi
isterinya membaca, 'Bismillah allahumma jannibnasy-syaithan wa
jannibisy-syaithan ma razaqtana' (Dengan nama Allah. Ya Allah, Jauhkanlah setan
dari kami dan jauhkanlah setan dari apa yang Engkau rezkikan kepada kami). Doa
ini penting agar anak yang bakal terhasil itu daripada hubungan kita itu dari
awal lagi terbebas daripada gangguan syaitan. Ibu bapa kadangkala alpa, gelojoh
dan mengabaikan doa ini, dan tidak menganggap doa ini sebenarnya adalah hak
anak yang perlu kita tunaikan agar anak terselamat daripada gangguan syaitan.
Kedua-dua hak ini sering kali diabaikan ibu bapa sedangkan
ia juga termasuk dalam hak anak yang wajib kita tunaikan.
Adapun hak lain seperti memberi nafkah, pendidikan dan
lain-lain pada kebiasaannya ditunaikan baik oleh ibu bapa. Marilah sama-sama
kita memastikan dua hak yang sering diabaikan ini dapat ditunaikan agar kita tidak
menyesal pada Hari Akhirat kelak kerana tuntutan daripada anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan