Sedekah adalah amalan sunat yang digalakkan kepada umat
Islam dan dijanjikan pahala berlipat ganda jika dilaksanakan dengan ikhlas
bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Mereka yang bersedekah juga akan
mendapat lebih banyak manfaat dan sentiasa mendapat perlindungan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan ingatlah, Allah
akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha
Luas (rahmat-Nya) lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah,
ayat 261) Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Jika kamu menampakkan
sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan
kamu berikan kepada orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan
Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahanmu; dan Allah mengetahui
apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 271)
Bersedekah dapat menghapuskan dosa dan sifat mazmumah.
Mereka yang bersedekah sentiasa dilindungi oleh Allah SWT daripada melakukan
segala bentuk kemungkaran dan dijauhkan malapetaka serta bencana alam. Selain
itu, mereka yang mencintai amalan bersedekah akan dilimpahkan rezeki
seluas-luasnya, disembuhkan daripada penyakit dan dipanjangkan umurnya.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Sedekah tidak
mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya
melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah
mengangkatnya." (Riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)
Amalan bersedekah adalah berasaskan ilmu tauhid iaitu
mengesakan Allah SWT dengan melakukan kebaikan (sedekah, tolong-menolong) dan
meninggalkan segala larangan (riak, sombong) kerana Allah SWT sebagai tanda
keimanan. Sedekah juga memperlihatkan ciri ketakwaan dalam hubungan manusia
dengan Allah SWT, keikhlasan hubungan sesama manusia untuk memberi pertolongan
bagi melahirkan rasa kasih sayang sesama insan.
Kehebatan bersedekah membolehkan manusia berkongsi menikmati
segala kemewahan dan kesenangan duniawi untuk mencapai kebahagiaan di akhirat
kelak. Ia juga mendidik masyarakat Islam sentiasa bersyukur atas segala
pemberian-Nya dan sentiasa memikirkan kehidupan orang yang lebih memerlukan.
Namun, kebergantungan terhadap manusia hanyalah bersifat sementara. Penerima
sedekah seharusnya berusaha mencari rezeki dengan tujuan beribadah kepada Allah
SWT tanpa mengharapkan belas ihsan orang lain dan percaya semua rezeki datang
daripada Allah SWT. Umat Islam digalakkan menginfakkan lebihan atau sebahagian
daripada harta dimiliki ikhlas kerana Allah SWT.
Oleh itu, sebagai hamba yang menginginkan
kebahagiaan di dunia dan akhirat seharusnya menjadikan amalan sedekah sebagai
satu kewajipan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan