Pulau kecil ini Terletak kira-kira 10 kilometer dari pantai
Sabah, Labuan diisytiharkan pusat kewangan luar pantai pada 1990 dan menjadi
pelabuhan bebas cukai sejak 1956. Turut digelar sebagai Mutiara Borneo dan kini
menjadi antara sebuah pusat perdagangan dan kewangan disegani.
Labuan memang tersenarai antara destinasi percutian yang
menjadi tumpuan pelancong kerana zon bebas cukai itu menyediakan pelbagai
tarikan, antaranya selam skuba untuk melihat bangkai kapal karam, aktiviti
membeli-belah barangan bebas cukai dan relik Perang Dunia Kedua.
Di Labuan, anda boleh mengunjungi kedai bebas cukai yang
menyediakan pelbagai jenis barangan antaranya coklat, makanan dan tembakau yang
dijual murah. Walaupun coklat banyak dijual di tempat lain, istimewanya produk
di kedai bebas cukai itu jarang ditemui di tempat lain. Malah, ada antaranya
memang boleh ditemui di situ saja.
Luangkan juga waktu untuk melawat Memorial Perang Dunia
Kedua.Istimewanya, Memorial ini adalah yang terbesar di Malaysia dan menjadi saksi
kepada persemadian 3,908 askar yang terkorban pada Perang Dunia Kedua. Ia juga
tempat utama bagi sambutan Hari Peringatan dan upacara tahunan bagi menghormati
wira perang, yang dijalankan dengan penuh tradisi ketenteraan.
Bagi peminat-peminat Golf anda boleh melepaskan gian anda di
Labuan International Golf Club sambil menikmati panorama dengan reka bentuk
menarik flora dan fauna untuk menjadi tatapan mereka yang meminati sukan itu.
Ianya direka arkitek terkenal dari Australia yang turut mencipta Parslow &
Winter Golf Course, padang golf itu mempunyai 18 lubang di bawah 72 par, padang
golf pantas yang menjadi tempat pilihan dalam kalangan pemain golf di Borneo. Club
House pula berfungsi menyediakan kemudahan untuk memberi keselesaan kepada
pemain golf.
Teruskan perjalanan anda ke Peace Park dan Surrender Point,
salah satu tempat wajib bagi pengunjung jika datang ke Labuan. Taman Damai yang
tenang di Kampung Layang-Layangan ialah simbol keamanan dan harmoni yang
diserikan dengan jambatan gaya Jepun, kolam dan landskap menarik. Taman Damai
ialah tanda penghormatan bagi mereka yang bertarung nyawa di Borneo ketika
Perang Dunia Kedua.
Di sebelahnya ialah Tugu Penyerahan Jepun iaitu tempat
Angkatan Tentera Jepun ke-37 menyerah kepada Angkatan Tentera Diraja Australia
pada 10 September 1945. Penyerahan penuh bersejarah itu menandakan tamatnya
Perang Dunia Kedua di Borneo. Tugu itu dilancarkan semula pada 2011 dan ia
didirikan bagi memperingati askar yang berjuang untuk kebebasan Borneo, sekali
gus menamatkan perang.
Tempat tarikan lain yang mesti dikunjungi ialah Muzium
Chimney. Ia adalah bukti peninggalan aktiviti perlombongan arang batu di
Tanjung Kubong yang berusia lebih seabad. Muzium itu agak unik kerana
berdasarkan namanya ramai menganggap ia berfungsi sebagai cerobong asap. Namun,
tiada kesan pembakaran pada dinding sebelah dalam.
Berhampiran muzium itu ialah Taman Burung yang didiami
pelbagai jenis burung di Borneo. Anda boleh melihat spesies yang jarang ditemui
seperti burung merak, burung kenyalang dan burung raja udang.
Pasti tidak lengkap rasanya jika datang ke Labuan jika tidak
menikmati panorama matahari terbenam yang sungguh mempesonakan. Persekitaran
Labuan dikelilingi laut menyebabkan kawasan pantai sering menjadi tumpuan
pengunjung terutama di hujung minggu untuk menyaksikan fenomena semula jadi
itu.
Antara pantai terkenal di Labuan ialah Pantai Pancur Hitam
dan Pantai Layang-Layangan dengan air yang jernih dan pantai yang bersih.Lokasi
itu menjadi tumpuan kerana adanya pelbagai gerai makanan, sekali gus
membolehkan pengunjung menjamu selesa sambil menikmati pemandangan indah. Pantai
Layang-Layangan turut menjadi tumpuan untuk bergambar kerana di hujung pantai
itu terdapat sepohon pokok yang tumbuh di atas batu dan hanya dapat dilihat
dengan lebih dekat ketika air surut.
Sebelum meninggalkan Pulau Mutiara Borneo ini singgahlah di
Muzium Marin Labuan. Dibina dengan konsep Kapal, ia membuka dunia lautan penuh
warna dengan pemandangan panoramik ikan-ikan dan koral yang tidak dapat
ditatapi di tempat lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan