NuffnangAds

Rabu, 4 November 2015

SEIMBANGKAN PEMAKANAN DAN SENAMAN




Senaman adalah cara penting untuk menjaga kesihatan dengan baik. Kajian sains membuktikan senaman boleh menurunkan risiko mendapat penyakit kronik seperti jantung, strok, diabetes, darah tinggi dan kanser.

Kajian menyarankan agar kita melakukan senaman selama 30 minit secara sederhana sebanyak lima kali seminggu, kerana ianya boleh mengurangkan risiko penyakit kronik sebanyak 30 peratus.


Bagaimanapun, ia sebenarnya tidak banyak membantu dalam menurunkan berat badan. Sesetengah orang pula beranggapan apabila bersenam secukupnya, dia boleh makan sesuka hati dan sebanyak yang diinginkan.

Hakikatnya, kajian sains menunjukkan, senaman semata-mata tidak memadai untuk memperoleh kesihatan yang baik. Sejak 30 tahun kebelakangan ini, masalah kegemukan atau obesiti semakin bertambah dan membelenggu masyarakat kita.

Masalah ini banyak dikaitkan dengan faktor makanan yang tinggi kalori dan makanan proses adalah penyumbang utama kepada masalah berat badan berlebihan. Aktiviti fizikal juga tidak banyak mempengaruhi risiko obesiti berbanding pemakanan yang tidak sihat.

Masalah kesihatan yang melanda masyarakat kita hari ini berpunca daripada pemakanan salah dan tidak sihat yang menyebabkan penyakit kronik lebih banyak daripada faktor kurang aktiviti fizikal, merokok dan minum alkohol.

Ini menyebabkan kita hanya selalu mendengar atau melihat promosi kesihatan yang hanya menjurus kepada menjaga ‘berat badan’ melalui kiraan kalori dan banyak menyalahkan masalah obesiti kepada kurang senaman semata-mata.

Senaman pula terlalu menekankan kaedah ‘membakar kalori’. Makanan pula hanya dilihat dari aspek kalori semata-mata tanpa mempertimbangkan indeks glisemik, lemak trans, vitamin, mineral dan anti oksidan.

Masyarakat perlu diberi kesedaran konsep yang betul mengenai pemakanan dan senaman supaya tidak terpedaya dengan konsep salah yang akan menyebabkan seseorang menghidap penyakit kronik walaupun mereka bersenam secara konsisten tetapi tidak makan secara tidak sihat.


Pemakanan sihat dan betul di samping melakukan senaman yang konsisten sangat penting untuk mengawal kadar penyakit diabetes dan masalah obesiti yang membelenggu masyarakat Malaysia sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...