Letakkan Allah Di Tempat Pertama...
Alangkah baik jika dengan Allah kita mendapat ilmu. Bukan
setakat ilmu, bahkan dengan Allah lah kita mendapat segala-galanya. Dengan-Nya
kita hidup dan mati dan dengan-Nya kita beroleh rezeki. Segala apa yang kita
peroleh dalam hidup ini semuanya Allah yang beri.
Dengan kata lain, kita meletakkan Allah pada kedudukan
teratas di dalam seluruh kegiatan hidup. Saat kita melakukan ibadah, maka Allah
beri keizinan dan kekuatan untuk kita beribadah. Allah
mengelokkan kesihatan
kita. Allah gerakkan hati dan anggota badan untuk beribadah. Allah mencampakkan
dalam hati rasa seronok beribadah. Allah anugerah kesabaran untuk kita
beristiqamah beribadah. Allah mencampakkan keikhlasan dalam hati hingga kita
beroleh ketenangan.
Saat kita selesai melakukan kerja yang diamanahkan kepada
kita di tempat kerja, maka kita yakin bahawa Allah yang member keizinan untuk
kita datang bekerja. Allah memudahkan kita melakukan kerja-kerja tersebut
hingga sempurna.
Siapa kita untuk mendakwa bahawa kita berupaya melakukan
segalanya dalam hidup? Hebatkah kita lantas berani menentukan kejayaan dan
kegagalan orang lain di sekeliling, samada kawan atau musuh kita?. Allah
mengajar kita bahawa setiap kejadian terjadi dengan izinNya. Sesungguhnya Allah
SWT memiliki jutaan sebab untuk kejayaan seseorang. Ia juga memiliki jutaan
sebab untuk kegagalan seseorang.
Sikap positif yang meletakkan “Allah di tempat pertama”
ini mampu menyuburkan keikhlasan dalam hati. Tipu daya syaitan boleh ditewaskan
bila yakin bahawa ibadah yang dilakukan itu berlaku denganNya.
Sebagai contoh, pelaksanaan ibadah boleh menimbulkan rasa
riak atau ‘ujub di dalam hati. Orang lain tidak berkata apa-apa, tetapi diri
sendiri yang berkata-kata. Orang lain tidak mahu mendengar cerita, tetapi diri
sendiri yang suka-suka bercerita. Orang lain tidak memuji, tetapi diri sendiri
yang mahu dipuji.
Alangkah baik jika kita dapat meyakinkan diri bahawa
denganNya kita melakukan ibadah tersebut. DenganNya kita mampu bangun malam.
DenganNya badan bertenaga untuk bangun dan beribadah. DengaNya hati kita tenang
dan khusyuk beribadah.
Begitu juga ketika kita ditimpa sesuatu penyakit atau
musibah, maka keyakinan bahawa denganNya kita ditimpa sakit dan musibah dan
denganNya kita sembuh dan dilepaskan daripada musibah, akan menambah kesabaran
kita menempuh ujian Allah tersebut.
Begitu juga ketika saat kita meraih kejayaan atau
kegagalan dalam hidup. Rasa syukur akan bertambah dengan keyakinan bahawa
denganNya kita meraih kejayaan. Kita tidak boleh bangga atau sombong kerana
denganNya kita beroleh kejayaan. Jiwa akan kembali tenang bila kita yakin
bahawa denganNya kejayaan itu belum menjadi milik kita, jesteru denganNya kita
gagal.
Semoga dengan ini akan menambahkan rasa syukur dalam diri
atas nikmat hidup dan nikmat islam yang kita miliki. Dengan nikmat ini yang
membolehkan kita meletekkan Allah di tempat pertama dalam kehidupan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan