Tiada kata yang paling indah dan
tiada tutur yang paling berkah selain kita mengucapkan puji dan syukur
kehadhirat Allah swt, dan untaian rahmat yang ber nadakan salam, sebagai
rasa cinta kita kepada Rasulullah saw, marilah sama-sama kita mendo’akan kiranya
rahmat dan sejahtera senantiasa dicurahkan Allah kepada junjungan kita
Nabi besar Muhammad saw.
Begitulah setiap kali kita
mengingati Rasulullah saw, apalagi sambutan Maulidur Rasul pastinya
bermacam-macam program dan aktiviti berlangsung. Perarakan Maulid, Forum,
Program Selawat, Wacana Ilmu dan sebagainya bertujuan menyemarakan lagi
perasaan cinta dan kasih sayang kita kepada Baginda. Tidak kurang ada yang
memilih tarikh kelahiran Rasulullah saw untuk bernikah dan melangsungkan
perkahwinan, mungkin untuk memilih berkat.
Begitulah hebatnya Insan yang
bernama Muhammad saw ini, yang diutuskan oleh Allah swt untuk membawah rahmat Islam
ke seluruh alam. Rahmat Islam itu berkekalan hingga sekarang, malah semakin
bertambah umat Baginda kerana Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw melalui
akhlak yang syumul dan memberi kesan yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang
mengenalnya atau mengkaji riwayat hidupnya.
Di dalam Al-Quran Allah swt berfirman dalam surat Al-Ahzab ayat
21:
“Sungguh ada pada diri Rasul itu contoh teladan yang
sempurna bagi kamu..
Rasulullah diutus oleh Allah
sebagai seorang Rasul yang mengajak ummatnya ke jalan kebenaran, bukan hanya
sekedar berdakwah, terlepas dari kenabian, beliau juga seorang manusia, beliau
makan juga memerlukan tempat tinggal, beliau berusaha, beliau juga mempunyai
anak isteri, singkatnya apa yang kita lakukan sekarang, Rasulullah saw juga pernah
menlaluinya.
Jika kita seorang ahli
perniagaan, Rasulullah saw juga seorang peniaga yang mengusahakan perniagaan
isterinya Siti Khadijah, beliau tidak pernah mengambil ijazah perniagaan tapi
beliau ahli dalam perniagaan, beliau tidak pernah belajar Akuantan, tapi beliau
jujur dan teliti dalam perniagaan. Tidak pernah Khadijah mengeluh kerana
rugi, tidak pernah juga ada pembeli yang merasa tertipu, tidak pernah Baginda merayu
orang supaya membeli barangnya. Orang membeli barang daripada Rasulullah saw bukan
kerana harganya yang murah, tapi kerana hati beliau yang sangat murah, Baginda
berjaya dalam usaha bukan kerana modal yang besar, tapi Baginda berjaya kerana
modal kejujuran Baginda.
Andai kita ingin berjaya dan
sukses dalam usaha, maka kejujuran adalah modal utama. Begitu juga
dalam kehidupan bermasyarakat, saudara seorang pemimpin, seorang bos di pejabat,
Rasulullah saw juga seorang pemimpin yang berhasil dalam memimpin umat, saudara
berpangkat jeneral, Baginda juga pernah menjadi panglima perang, umat patuh dan
taat kepada Baginda bukan kerana kekuasaan, musuh pun melutut bukan
kerana Beliau hebat dalam perang, tapi kerana akhlak beliau yang mulia,
beliau tidak pernah gentar menghadapi musuh, tapi beliau juga mudah
memaafkan kesalahan musuh, beliau panglima perang yang berani, tapi beliau juga
seorang perajurit yang rendah hati dan mulia.
Rasulullah menyeru manusia untuk
beribadah kepada Allah, beliau sendiri ahli ibadah, Baginda menganjurkan bersedekah,
Baginda juga bersama membantu anak yatim, Baginda mengajar dan berpesan
tentang kesabaran, Baginda juga orang paling sabar dalam kehidupan, padahal
kita tahu Rasulullah saw itu orang yang paling miskin, Baginda mempunya isteri
dan keluarga yang ramai, tetapi tidak pernah kita jumpai dalam satu riwayat pun Baginda pernah mengeluh, walau terkadang Baginda makan terkadang tidak, meskipun Baginda tidur beralaskan pelepah kurma, tapi kesempitan seakan tidak pernah ada,
bahkan pernah terucap dari bibir Baginda : “Baiti jannati”; Rumahku adalah
syurgaku, rumah yang sempit tapi terasa luas bagaikan istana, hidup serba
kekurangan tapi kebahagian juga tidak pernah sirna, kerena hati beliau
sabar dan pandai bersyukur terhadap nikmat Allah.
Itulah konsep kehidupan
Rasulullah saw, kemampuan beliau mensyukuri nikmat Allah, di segenap kehidupan
Baginda samada di masa senang mahu pun susah. Semasa mendapat nikmat yang
sedikit Baginda berasa cukup, jika Baginda diberi kesenangan, nikmat itu
dikongsikan.
Menafakahkan harta tidak membuat
Baginda berasa kurang, inilah konsep kehidupan yang telah membawa Rasulullah saw
kepada keluarga yang sakinah, mawaddah dan warahmah dalam menggapai
kebahagiaan hidup.
Harta dan kekayaan bukan suatu jaminan
kebahagiaan hidup, berapa ramai sudah tokoh yang kaya raya hidup bergelimpangan dengan
harta yang akhirnya menuju kehancuran di akhir hayat.
Kesimpulannya, kejayaan Rasulullah dalam berdakwah bukan kerana kepandaian Baginda dalam mengolah kata, bukan kerana mahirnya Baginda bersastera, tapi Baginda berhasil karena kearifan Baginda dalam memimpin. Sikap dan santun Baginda yang dikagumi, Baginda tidak hanya berkata-kata, tapi beliau juga melakukan. Inilah konsep kejayaan dakwah Rasulullah saw, melakukan adalah lebih besar hikmahnya daripada hanya sekedar berkata-kata.
Oleh itu cukup Rasulullah saw
sajalah yang wajib dan patut kita jadikan sebagai tokoh dan idola serta ikutan
yang telah meninggalkan kita banyak contoh dan tauladan untuk berjaya
dalam mengharungi kehidupan. Mungkin kita tidak dapat menjadi seperti
Rasulullah saw, tetapi banyak yang kita boleh jadikan ikutan untuk menjadi insan
yang menjadi kekasih Allah swt seperti Rasulullah saw.
Firman Allah dalam surah Al Ahzab
ayat 21
“Sesungguhnya telah ada pada
(diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang
mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut
Allah.”
Salam Maulidur Rasul 1437H
Wallahu A’lam bishshowab....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan