NuffnangAds

Khamis, 31 Disember 2015

"BUDAYA BUANG SIAL" DI AMBANG TAHUN BARU

Alhamdulillah, kita akan meninggalkan tahun 2015 dan memasuki tahun baharu tahun 2016. Ini bermakna umur kita akan bertambah. Dunia juga semakin tua dan tenat untuk didiami. Banyak kisah dan banyak pengalaman yang dilalui dalam tahun 2015, semuanya berkisarkan tentang kehidupan, meneruskan kehidupan dan berjuang dalam kehidupan.

“BUDAYA BUANG SIAL”
Dua puluh tahun dahulu saya masih ingat ketika di awal remaja sambutan tahun baru wajib saya sambut samada bersama keluarga, rakan sekampung atau pun kenalan. Sambutan dahulu itu sememangnya jauh berbeza dengan apa yang di alami sekarang. Maklumlah, dulu masih lagi jahil dan masih ikut-ikutan sahaja. Mana tidaknya saya wajib ke pantai untuk bermandi-manda apabila tibanya ambang tahun baru. Pada masa itu sememangnya pantai menjadi tumpuan, penuh pantai dengan orang ramai dan mungkin sekarang pun masih lagi. Apabila bunyi hon dibunyikan yang menandakan masuknya tahun baru, semua orang akan turun ke air laut untuk mandi dan ada di antara mereka yang membuang barang-barang lama kepunyaan mereka. Cara ini dinamakan sebagai “BUDAYA BUANG SIAL” setiap kali tahun baru bermula. Ertinya kita akan membuang semua perkara-perkara yang “sial” untuk tahun lalu dan tahun baru. Dengan mandi di laut kita akan membersihkan segala apa “sial” yang ada dalam diri kita agar tidak lagi berlaku di tahun baru.


Bila difikirkan semula pelik juga kan. Begitu mudah kita membuang segala apa yang tidak kena dengan diri kita dengan mandi air laut sedangkan yang akan berlaku di tahun baru bukanlah semuanya seperti yang kita inginkan dan hajatkan. Pasti jalannya berliku, “sial” itu tetap ada dan tetap berlaku. Itulah sebenarnya yang mematangkan kita dalam hidup. Menjadikan kita lebih berhati-hati dan lebih bersedia jika terjadi perkara yang sama.

PENGISIAN YANG LEBIH BERMAKNA
Jadi untuk apa “Budaya Buang Sial” tersebut? Ianya tidak lebih sebagai pesta untuk menyambut tahun baru. Ianya tidak memberi apa-apa makna, “sial” itu tidak akan hilang, yang hilang adalah kepercayaan kita terhadap qada dan qadar Allah swt.
Marilah kita menyambut tahun baru ini dengan sesuatu yang lebih bermakna untuk kita. Banyak sambutan tahun baru yang lebih berfaedah untuk kita hadiri. Seperti sekarang adanya Malam Cinta Rasulullah saw, solat hajat di masjid mahupun bermuhasabah bersama keluarga di rumah. Itu lagi bermakna untuk kita memohon kekuatan dan keberkatan daripada Allah swt untuk melalui tahun baru yang penuh dengan cabaran.

TETAPKAN AZAM PERBAHARUI NIAT
Ramai yang memperbaharui azam jika bermulanya tahun baru, walau pun hakikatnya ada azam yang dulu tidak tercapai. Tetapi bagi saya, saya memulakan tahun baru dengan memperbaharui niat saya seperti mana dalam Hadis Rasulullah saw iaitu;

“Sesungguhnya, setiap amal perbuatan itu mestilah disertai dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang telah menjadi niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itupun kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehinya, ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksud dalam hijrahnya itu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi apa juga azam yang kita inginkan hendaklah disertakan dengan niat, hidup kerana Allah swt. Itulah sebenarnya menjadikan kita kuat untuk menempuhi apa jua yang akan kita lalui untuk mencapai azam di tahun yang baru. Azam itu akan lebih bermakna dengan niat kerana Allah swt. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk dan pertolongan dalam setiap apa yang kita akan lalui di tahun baru 2016


Hidupku Matiku Kerana Allah. Semoga bermanfaat....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...