Ribut taufan Melor atau dikenali juga sebagai Taufan Nona
yang melanda Filipina semalam akan turut membawa angin kencang dan hujan lebat
ke Sabah khusus di kawasan Pantai Barat, Kudat, Pedalaman dan Labuan.
Timbalan Ketua Pengarah Iklim dan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui
Bahari berkata keadaan itu dijangka berterusan sehingga Ahad ini yang sekali
gus boleh menyebabkan banjir kilat.
"Diramalkan banjir kilat akan berlaku disebabkan hujan lebat dan bukannya
banjir musim tengkujuh akibat musim monsun timur laut yang berlaku ketika
ini," katanya.
Beliau berkata ribut tersebut yang memulakan masa pencerapannya pada 8 pagi
tadi telah bergerak ke arah barat pada kelajuan 15 kilometer sejam (kmsj)
dengan jarak dari bandar terdekat kira-kira 869 kilometer ke timur laut Pitas,
Sabah.
"Hari ini merupakan kategori pertama pembawaan angin itu ke Sabah dan
dijangka akan berlaku kategori kedua esok dengan ombak mencapai ketinggian
sehingga 4.5 meter dan berkelajuan antara 50-60 kmsj ," katanya ketika
dihubungi Bernama.
Bagaimanapun Alui berkata keadaan angin ribut yang dibawa tidak akan
menjejaskan penduduk dan kawasan sekitar kerana ia masih dalam kategori
sederhana dan tidak membahayakan.
"Sehubungan itu penduduk dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di laut
sebagai langkah berjaga-jaga kerana ia bergantung pada tahap kelajuan taufan
itu membawa angin dengan jangkaan kesan daripada ribut itu masih jauh,"
katanya.
Beliau berkata pihaknya kini masih memantau pergerakan taufan berkenaan yang
menghala ke arah barat dan menjangkakan hujan lebat di kawasan terbabit akan
berlaku pada Khamis dan Jumaat ini disebabkan tempias angin ribut tersebut.
"Kebiasaannya kami mendapatkan kemas kini maklumat berkenaan ribut taufan
ini dari Filipina enam jam setiap hari dan ia bergantung kepada tahap cuaca,
iklim dan keadaan semasa di sana," katanya.
Semalam agensi berita Xinhua yang memetik ramalan cuaca daripada pihak Filipina
melaporkan lebih 161,000 keluarga atau kira-kira 725,000 penduduk telah
dipindahkan di tiga wilayah di timur dan kawasan tengah Filipina bagi mengelak
ancaman ombak besar, banjir dan tanah runtuh ekoran Taufan Melor yang melanda
negara itu.
Taufan Melor yang melanda Pulau Batag, selatan Samar pada pukul 11 pagi Isnin
itu dijangka membuat pendaratan kedua di wilayah Sorsogon pada hari berikut.
SUMBER : BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan