Seorang pakar psikologi Mesir, Dr Wail Abu Hendi berpendapat
cara yang lebih berkesan untuk mengurangkan berat badan ialah dengan
memperbaiki kelakuan terhadap makanan. Beliau telah merangka program perlakuan
mengikut sunah Nabi s.a.w.
Makan bukan sahaja boleh membawa kenikmatan, tetapi harus
dilihat sebagai satu ibadah. Sebab itu Nabi s.a.w. tidak pernah lupa membaca
bismillah sebelum menyuapkan makanan ke mulut. Tanggungjawab pertama Muslim terhadap makanan ialah,
memastikan kehalalannya, samada dari segi bahan mahupun punca rezeki tersebut.
Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada Ali bin Abi Talib,
“Wahai Ali, ada 12 perkara yang perlu dipatuhi seorang Muslim apabila menghadap hidangan, empat daripadanya adalah
adab; Tahu apa yang kamu makan dan sumbernya, menyebut nama Allah sebelum
makan, bersyukur dengan rezeki dan berpuas hati dengannya adalah kewajipan.
Duduk di atas kaki kiri, makan dengan tiga jari, makan makanan yang berada
dekat denganmu, dan menjilat jari adalah sunah. Sedikitkan suapan, menguyah
dengan betul, menahan diri daripada melihat muka orang lain dan membasuh tangan
adalah akhlak.”
Pesanan ini diambil Dr. Abu Hendi dalam merangka
metode perlakuan semasa makan. Di samping itu beliau menyarankan agar seseorang
makan tiga kali sehari (atau dua kali sekiranya berpuasa), dan mengambil
pelbagai jenis makanan agar tubuh mendapat zat yang mencukupi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan