1.”Jika kereta rosak, mekanik akan membaikinya. Jika tubuh
badan bermasalah, doktor yang akan mengubatinya. Jika kehidupan manusia
bermasalah, maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk. Pelik sungguh
manusia yang mengaku Allah SWT sebagai tuhan tetapi enggan merujuk kepada
syarat Allah bila berdepan dengan masalah”.
2. “Perbezaan yang paling besar di antara manusia dengan
makhluk yang lain ialah ilmu. Manusia diberikan kebolehan untuk diajar dan
mengajar. Binatang ternakan contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya,
tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang lain. Berbeza
dengan manusia, sedikit ilmu yang diperolehinya mampu dikembangkan dengan lebih
meluas”.
3. “Kita tanam lada, 40 hari dapat hasil boleh jual. Tanam
terung, dua tiga bulan dapat hasil. Tapi keuntungan tidak besar kerana itu
hanya projek kecil-kecilan. Jika projek besar seperti tanam getah, bukan 40
hari tapi memakan masa bertahun. Semakin besar projek tersebut semakin besar
untungnya. Demikianlah juga pahala yang merupakan projek yang paling besar. Untungnya
sangat besar dengan menunggunya begitu lama iaitu selepas mati baru mendapat
hasil”.
4. “Jika memandu kita perlukan lesen, menggunakan senjata
api perlukan lesen, maka hidup di dunia ini perlukan lesen. Lesen itu ialah
Islam. Hidup di dunia dengan menolak Islam ialah umpama hidup tanpa lesen.”
5. “Bila kita beragama, dengan sendiri kita akan merasa
bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT sedang memantau.
Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita terus lakukan dosa, tanpa ada
yakin seperti itu manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan
terjun ke gaung. Tapi kalau manusia hilang brek, di akan terjun ke neraka”.
6. “Pemuda adalah batu-bata dalam perjuangan Islam. Kerana
itu pemuda mesti lengkapkan diri dengan ilmu dan perbanyakkan amalan sunat.
Saya impikan untuk menjadi makmum di
mana pemuda imamnya. Pendengar kuliah disampaikan oleh pemuda, saya hanya mahu
datang dan dengar”.
7. “Allah menciptkan di dunia ini orang-orang kurang upaya
untuk menjadi ujian kepada orang yang sempurna. Di akhirat kelak akan ditanya,
setakat manakah kita orang-orang yang cukup upaya ini menghulurkan bantuan
kepada orang yang kurang upaya. Sebab itu, saudara-saudara kita yang kurang
upaya sedikit untung kerana terlepas daripada soalan ini di akhirat nanti.
Manakala yang sempurna tubuh badan pula perlulah pastikan duit yang dia ada
hari ini sedikit sebanyak dia peruntukkan untuk beli pahala lain selain beli lauk-pauk,
beras dan keperluan hidup”.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di
kalangan orang yang beriman.
Al-Fatihah (Nik Aziz Nik Mat | 1931 – 2015)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan