Sedarkah kita sebenarnya kita
hidup di dunia ini tidak bersendirian, Allah SWT telah menganugerahkan kita
insan-insan di sekeliling kita. Mereka memecah rasa sunyi yang menyelebungi
kita, membina rasa tenang dan tenteram sekaligus menjadi pengubat semasa kita
di timpa kesusahan, mereka itu ialah ahli keluarga kita. Samada suami, isteri,
ibu bapa dan anak-anak, semuanya mempunyai keistimewaan dan nilai tersendiri
dan Islam sentiasa menuntut agar kita bertanggungjawab terhadap mereka.
Pernahkah kita mentadabbur ayat Al-Quran
dalam Surah At-Tahrim ayat 6, iaitu firman Allah SWT yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman,
peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah
manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak
menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu
mengerjakan apa yang diperintahkan.” Apakah
perintah Allah SWT yang terkandung di dalamnya? Dan pernahkah kita terfikir
mengapa Allah SWT mengemukakan peringatan dan ancaman yang dasyat kepada setiap
hamba-hambanya.
Sebahagian besar kita adalah yang
bergelar suami atau ayah, yang merupakan ketua dalam keluarga dan mempunyai
tanggungjawab yang amat besar dan berat. Kitalah yang akan menentukan hala tuju
keluarga samada bakal menuju ke syurga atau bakal menerima azab di akhirat
kelak. Syaidina Ali r.a apabila membaca ayat ini, telah berpesan agar sentiasa
mengajar dan mendidik ahli keluarga ke arah kebaikan. Ayat ini juga secara
tidak langsung memberi masej kepada suami agar mempelajari fardu-fardhu agama
yang diwajibkan kepadanya dan seterusnya mengajarnya pula kepada ahli keluarga.
Selain merupakan anugerah
daripada Allah SWT, keluarga juga merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan ke
atas kita. Peranan untuk membentuk peribadi seorang isteri dan anak-anak
semuanya tertanggung di atas bahu para suami, lantaran itu ianya memerlukan
keupayaan ilmu, ketanggungan yang utuh dan stamina amal yang teguh selain
menuntut kemahiran, kesediaan dan kesabaran dalam mendidik anak-anak yang
begitu tinggi.
Di zaman era teknologi yang terus
berkembang, tanggungjawab sebagai ketua keluarga sememangnya amatlah berat.
Oleh sebab itu, perlunya diterapkan di dalam sebuah keluarga satu ilmu yang
seimbang di antara dunia dan akhirat. Kemuncak kebahagiaan dalam berkeluarga
ialah apabila setiap ahli keluarga membudayakan cara hidup Islam dalam
kehidupan seharian. Bukan mudah untuk mencapainya, namun yang dituntut itu
adalah usaha-usaha kita.
Marilah kita merenung ayat Allah
dalam Surah Ath-Thuur Ayat 21 yang bermaksud;
“Dan orang-orang yang beriman,
beserta anak cucu mereka yang mengikuti dalam keimanan, Kami pertemukan mereka
dengan anak cucu mereka (di dalam syurga), dan Kami tida mengurangi sedikit pun
pahala amal (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang
dikerjakannya.”
Semoga kita sama-sama menghargai
anugerah daripada Allah SWT dengan melaksanakan amanah dengan sebaiknya, terus
berusaha dengan penuh hikmah dan kesabaran. Semoga kita dihimpunkan di akhirat
kelak bersama dengan orang-orang beriman dan solehin...Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan