Tip Agar Aanak Sesuaikan Diri Dalam Majlis...
Hakikatnya, apabila kita hendak menjalankan sebuah majlis
besar seperti kenduri kahwin, kenduri kesyukuran hatta kenduri sambutan hari
lahir sekalipun persiapan perlu dilakukan. Bukan sahaja makanan dan minuman namun
persediaan fizikal, mental dan emosi kita dan anak juga turut sama perlu diberi perhatian.
Ini kerana, apabila sebuah majlis dijalankan dalam sebuah
rumah maka banyak perkara yang perlu dilakukan dan dilaksanakan. Ini akan
menyebabkan berlakunya perubahan rutin harian penghuni rumah. Ini termasuklah
rutin harian anak.
Kebiasaannya, anak akan makan dan tidur mengikut masanya
namun apabila ada majlis, rutin itu akan berubah dengan sendirinya. Dengan
keadaan ibu dan ayah yang sibuk melayan tetamu dan suasana dalam rumah yang di
luar kebiasaan, maka rutin ini akan terjejas.
Keadaan ini mungkin sahaja mengundang pelbagai reaksi emosi
daripada anak. Jika anak terlampau letih, dia akan mengamuk, menangis dan
menyebabkan ibu menjadi sukar. Dalam satu keadaan lain pula mungkin anak akan
teruja dengan kehadiran rakan-rakan sehingga bermain sahaja tanpa makan dan
minum. Semua ini perlu diberi perhatian agar anak-anak terjaga dan majlis juga
dapat berjalan dengan lancar.
Bagi mengatasi perkara tersebur, beberapa tip dikongsingkan
iaitu;
1. Beri Penerangan Jelas Kepada Anak
Sebelum merancang menjalankan majlis, seeloknya anak-anak
perlu diberikan penerangan apa yang bakal terjadi dalam rumah pada waktu majlis itu berlangsung nanti.
Dengan ini anak akan dapat bersedia dan tidak terkejut dengan perubahan yang
berlaku di dalam rumah.
2. Terangkan Tentang Kesibukan Ibu Dan Ayah
Anak perlu diberi pemahaman pada ketika itu apa yang ibu dan
ayah lakukan dan apa yang mungkin tidak mampu ibu dan ayah lakukan untuk anak.
Kemudian berikan penyelesaian kepada anak. Sebagai contoh, jika waktu itu ibu
atau ayah tidak dapat mengambilkan keperluan anak yang diperlukan, minta anak
berjumpa dengan orang yang sepatutnya seperti keluarga yang terdekat untuk
mendapatkan keperluan tersebut.
3. Ajar Anak Mohon Kebenaran Melakukan Sesuatu
Jelaskan kepada anak bahawa tetamu yang datang nanti adalah
kawan-kawan ibu dan ayah yang perlu dihormati dan dilayan dengan baik. Jika
terdapat sesuatu perkara yang berlaku perlulah dirujuk kepada ibu dan ayah
terlebih dahulu seperti mengajak kawan masuk ke dalam bilik atau keluar bermain
ditaman dan sebagainya. Apabila penerangan ini dilakukan, persepsi minda anak
berkaitan dengannya juga akan terbentuk. Di sini secara tidak langsung sosial
anak-anak dapat diterapkan.
4. Beri Tunjuk Ajar Praktikal
Berikan tunjuk ajar secara praktikal untuk berkomunikasi
dengan baik dan bergaul dengan baik sama ada dengan rakan sebaya atau yang
lebih tua. Tegur anak jika apa yang dilakukan tidak wajar. Teguran ini boleh
dibuat kerana pada awal tadi penerangan sudah diberikan dan tegur dengan cara
yang baik dan penuh kasih saying. Jagalah air muka anak di hadapan tetamu
5. Sediakan Keperluan Bagi Anak-Anak Kecil
Dalam banyak keadaan, sewaktu majlis berlangsung, kanak-kanak
yang lebih kecil akan menjadi tidak selesa. Sediakanlah keperluan pada masa
yang sepatutnya. Jika tidak mampu melakukan untuknya, mintalah bantuan daripada
keluarga terdekat. Apabila keperluan asasnya dapat dipenuhi, maka emosinya akan
tenang dan lebih berkompromi.
Sesungguhnya majlis yang diadakan bertujuan menggembirakan
para hadirin. Pada masa yang sama jangan dilupakan keadaan emosi anak-anak.
Perkembangan minda dan emosi yang masih berkembang memerlukan ruang untuk
memahami keadaan dan persekitaran yang wujud di dalam kehidupannya. Jika
persekitaran ini dapat difahami dengan baik, In Sya Allah anak-anak boleh
menyesuaikan diri dengan cepat dan membina sosial yang baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan