Tarzan Di Rumah : Berhenti Sebelum Parah...
Anak bukan hanya satu anugerah dari Allah SWT tetapi juga
satu amanah yang perlu kita pelihara dan bentuk agar menjadi satu produk yang
berkualiti serta memberi hasil kepada anak itu sendiri serta masyarakat sekelilingnya.
Kita mungkin terjerit-jerit sama ada ketika bercakap atau
lebih ramai lagi yang terjerit-jerit meminta anak patuh akan arahan yang
diberikan. Keadaan ini tidak lebih menjadikan kita seperti tarzan di dalam
rumah sendiri.
Tetapi harus diingat yang kita sebenarnya bukanlah tarzan
dan tidak perlu menjadi tarzan dalam memberi arahan. Jika arahan itu hendak
diberikan kepada anak maka berilah arahan dan bukannya perintah. Perintah pula
sering mendapat bangkangan. Biar pun pada awalnya mereka menerima tetapi lama
kelamaan ianya akan menjadi satu tembok penghalang komunikasi.
Kita menjadi ‘tarzan’ kerana mahukan anak-anak cepat
mendengar kata-kata kita. Mereka dengar tetapi patuh belum tentu. Apa yang
diperintahkan kepada mereka, mungkin diikuti tetapi ia hanya untuk sementara.
Tanpa kita sedari sebenarnya kita menjadi salah satu
penyumbang kepada kedegilan si anak. Kita sebenarnya telah memindahkan energi yang negatif dalam diri si anak. Hal ini mungkin telah berlaku sekian lama
yang akhirnya tanpa kita sedari energi negatif itu telah berkumpul dalam diri
anak dan menjadikan dia mula kurang mendengar kata. Bukan kerana degil tapi
mungkin mindanya berserabut.
Jesteru ada beberapa langkah awal untuk berhenti menjadi
‘tarzan’ di rumah ialah dengan;
1. Menjaga Emosi Diri
Emosi diri yang memancarkan energi negatif perlulah
diuruskan sebaik yang mungkin. Emosi ini selalunya lahir akibat kepenatan
sewaktu pulang dari kerja. Untuk mengurus emosi pada ketika ini, ada baiknya
anda menjauhkan diri seketika daripada anak-anak. Ini kerana pada waktu itu
gelombang otak kita tinggi. Tenangkan diri seketika dengan mengambil beberapa
masa untuk berehat di luar rumah. Dengan ini emosi kita akan mulai reda
disebabkan kepenatan yang semakin menurun hasil dari persekitaran yang tiada
tekanan.
2. Membasuh Kaki
Sebelum masuk ke rumah setelah berehat seketika di luar
rumah, ada baiknya anda membasuh kaki terlebih dahulu. Kaki yang disiram dengan
air akan dapat menyejukkan minda dan menyegarkan tubuh. Apabila minda telah
sejuk dan tubuh menjadi segar barulah kita menemui anak kita. In Sha Allah kita
tidak menjadi tarzan.
3. Mulakan Dengan ‘Bismillahirrahmanirrahim’
Langkah ketiga ini merupakan petua dulu yang cukup
berkesan. Sebelum memberi arahan kepada sesiapa pun maka mulakanlah dengan
‘Bismillahirrahmanirrahim’ . In Sha Allah setiap arahan itu akan tersalurnya
energi yang positif dan kasih sayang. Energi kasih sayang ini lagi ampuh dari
energi jeritan yang kuat. Apabila kita memulakan arahan dengan ‘Bismillahirrahmanirrahim’
maka kita sebenarnya sedang menabur kasih sayang.
Indahnya keadaan ini ialah anak-anak In Sha Allah akan
mendengar arahan yang kita berikan dan ianya kekal lama. Kita tidak perlu
menjerit-jerit untuk memberi perintah pada si anak.
Arahan yang diberikan dengan
kasih sayang, arahan akan dapat diterima dan dilakukan dengan ikhlas. Apabila
kasih sayang ini memupuk maka harmonilah semuanya. Semoga kita di rahmati Allah
SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan