Seluar Bersalin Khas Untuk Ibu Bersalin...
Alhmaduliillah, ucapan ini yang terkeluar dari mulut
apabila terbaca berita akan adanya seluar khas untuk ibu bersalin di semua
hospital tahun hadapan. Apa tidaknya selama ini belum ada lagi pakaian yang
benar-benar sesuai untuk dipakai oleh ibu bersalin ketika di dalam wad.
Pakaian
yang digunakan sekarang menyukarkan pergerakan dan juga kekadang menampakkan
aurat ibu tersebut. Jadi untuk mengatasi masalah ini, lapan kakitangan Jabatan
Obsetetrik & Ginekologi Hospital Kemaman telah mencetuskan idea untuk mencipta
seluar bersalin.
Lapan kakitangan Jabatan Obstetrik & Ginekologi
Hospital Kemaman ini telah mencipta seluar bersalin yang dikenali sebagai
`materna pants'. Menurut mereka idea ini tercetus hasil daripada kesedaran
terhadap aurat wanita ketika di wad bersalin dan ingin memberikan keselesaan
pergerakan kepada ibu-ibu.
Seluar bersalin ini telah pun digunakan oleh 50 ibu bersalin di Hospital
Kemaman untuk mengkaji keberkesanannya. Hasilnya mendapati semua mereka
bersetuju menggunakan seluar berkenaan. Ini kerana menurut mereka ianya dapat
membantu bergerak dalam keadaan yang lebih selesa selain memberi penjagaan
aurat maksimum selaras dengan tuntutan Islam.
Hasil daripda kajian tersebut, ianya telah memberikan keyakinan kepada
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meluluskan penggunaan seluar
tersebut. Ini dinyatakan sendiri oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri
(Perubatan), Dr Saifur Rahman Mohamad bahawa, seluar bersalin itu sudah
mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dijadikan antara
kemudahan disediakan kepada ibu bersalin di hospital selaras dengan konsep
hospital mesra ibadah yang dilaksanakan tahun lalu.
"Buat masa ini, kami masih berbincang dengan pihak pembekal untuk
penyediaan bekalan seluar berkenaan memandangkan kosnya yang tinggi dan cara
pembuatan termasuk jahitan memerlukan teknik tertentu.
Selepas selesai perbincangan dan memperolehi persetujuan, kami menjangka
penggunaan seluar ini dapat dipraktikkan di semua hospital di seluruh negeri
menjelang tahun depan," katanya dalam satu sidang media di Wisma
Persekutuan.
Adalah diharapkan dengan usaha yang baik ini dapat
direalisasikan dengan sebaiknya tanpa sebarang halangan. Ini kerana ramai
ibu-ibu bersalin terutamanya yang beragama Islam wajib untuk menjaga aurat
mereka. Semoga dengan usaha yang dijalankan oleh mereka yang terbabit mendapat
ganjaran yang setimpal dan diberkati oleh Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan