Seseorang hamba Allah SWT itu perlu menyedari akan adanya
sebuah musuh yang sentiasa berusaha dengan muslihat, menyesatkan dan
memesongkan dirinya daripada jalan Allah SWT. Berbagai taktik dan cara
digunakan tanpa kita sedari yang membawa kita ke arah jalan yang dimurkai oleh
Allah SWT terutamnya dengan harapan-harapan yang tinggi.
Oleh kerana itu kita
digalakkan berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar diberikan petunjuk jalan
yang lurus, diberi kebaikan dunia dan akhirat. Inilah harapan yang kita perlu sandarkan
kepada Allah SWT bagi meneruskan kehidupan, namun ada juga di antara kita yang
tertipu dengan menaruh harapan melalui bisikan syaitan.
Ingatkah lagi kisah tentang Nabi Adam. Nabi Adamlah
manusia pertama yang disogokkan dengan harapan melalui bisikan syaitan.
Akhirnya harapan yang diberikan oleh syaitan itu sebenarnya merupakan tipu daya
yang menyebabkan Nabi Adam dikeluarkan daripada syurga Allah SWT dan dihantar
ke dunia. Manusia yang diangkat sebagai Nabi oleh Allah SWT pun boleh terpedaya
dengan syaitan, apa lagi kita ini sebagai manusia biasa yang tidak mempunyai
apa-apa.